UAE kecam Israel rampas ibu pejabat UNRWA

Bernama
Oktober 14, 2024 12:00 MYT
UAE turut mengutuk tindakan Israel menggantung operasi UNRWA dan membina penempatan di kawasan terbabit. -Gambar fail
ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam keputusan pihak berkuasa Israel untuk merampas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Ringkasan AI
  • UAE mengecam keputusan Israel merampas ibu pejabat UNRWA dan menggantung operasinya di Baitulmaqdis Timur.
  • UAE memuji usaha UNRWA membantu rakyat Palestin dan menolak sebarang tindakan yang membahayakan nyawa petugas kemanusiaan.
  • UAE menegaskan pentingnya menyokong usaha serantau dan antarabangsa untuk memajukan proses damai di Timur Tengah dan menghentikan tindakan haram yang menghalang penyelesaian dua negara.

Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), UAE turut mengutuk tindakan Israel menggantung operasi UNRWA dan membina penempatan di kawasan terbabit, serta menolak semua langkah yang bertujuan mengubah status sejarah dan undang-undang Wilayah Palestin.
Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Reem Bint Ebrahim Al Hashimy berkata UAE dengan tegas menolak sebarang tindakan merampas dan menyerang ibu pejabat kemanusiaan di Wilayah Palestin yang Diduduki, serta sebarang tindakan yang membahayakan nyawa petugasnya.
Beliau turut memuji usaha UNRWA membantu rakyat Palestin dalam mengatasi situasi kemanusiaan yang mencabar di bawah pendudukan Israel.
Al Hashimy menegaskan pentingnya menyokong semua usaha serantau dan antarabangsa untuk memajukan proses damai di Timur Tengah serta menghentikan tindakan haram yang menghalang penyelesaian dua negara termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Beliau turut menekankan komitmen UAE yang berterusan dalam memperkukuh keamanan, keadilan, dan melindungi hak sah rakyat Palestin.
-- BERNAMA
#Gaza #UNRWA #PBB #kekejaman israel
;