UAE hantar tiga lagi pesawat bersama 120 tan bantuan untuk Lubnan

Bernama
Oktober 18, 2024 20:39 MYT
Bantuan yang dihantar UAE kepada Lubnan itu meliputi keperluan termasuk bekalan perubatan, makanan, ambulans dan peralatan perlindungan. - AP
ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) meneruskan bantuan kemanusiaannya untuk Lubnan, dengan penghantaran tiga lagi pesawat yang membawa bantuan yang diperlukan termasuk bekalan perubatan, makanan, ambulans dan peralatan perlindungan.
Dengan ini, UAE setakat ini telah menghantar 12 pesawat yang membawa 515 tan bekalan bantuan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Ini sebahagian kempen bantuan kebangsaan selama dua minggu, "UAE Bersama Lubnan" yang bermula pada 8 Okt dengan penyelarasan pertubuhan antarabangsa berkaitan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).
Kempen dilancarkan mengikut arahan Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dengan pemantauan Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, Naib Presiden, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Mahkamah Presiden dan di bawah penyeliaan Sheikh Theyab bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Pengerusi Mahkamah Presiden bagi Pembangunan dan Hal Ehwal Wira yang Gugur serta Pengerusi Majlis Kemanusiaan dan Filantropi Antarabangsa.
Dengan penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperluaskan melalui tiga lagi pesawat membawa 120 tan bantuan untuk Lubnan dan pelarian Lubnan di Syria, Sultan Mohammed Al Shamsi, Penolong Menteri Luar Negeri bagi Pembangunan dan Organisasi Antarabangsa, menegaskan bahawa aliran berterusan bantuan UAE untuk Lubnan mencerminkan komitmen kemanusiaan UAE dan tanggungjawab globalnya untuk membantu masyarakat yang mengalami kesulitan dan segera meringankan penderitaan mereka.
Al Shamsi menambah, "UAE sentiasa menjadi ikon global dalam kerja kemanusiaan, membantu masyarakat yang terjejas oleh bencana dan konflik untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan."
-- BERNAMA
#UAE #bantuan #lubnan #pesawat #WHO
;