UAE hantar 5 lagi pesawat sokong pembinaan hospital medan di Gaza

Bernama
November 9, 2023 07:49 MYT
Secara keseluruhan, UAE telah menghantar 16 pesawat bagi menjayakan operasi kemanusiaan 'Gallant Knight 3' di wilayah itu. -Foto Sinar Harian
ABU DHABI: UAE menghantar lima lagi pesawat yang membawa bekalan dan peralatan untuk pembinaan hospital medan di Semenanjung Gaza.
Secara keseluruhan, UAE telah menghantar 16 pesawat bagi menjayakan operasi kemanusiaan 'Gallant Knight 3' di wilayah itu.
Kargo dibawa pesawat itu akan diturunkan di bandar El Arish, Mesir dan kemudiannya dipasang sebelum dihantar ke Gaza, menurut Agensi Berita Emirates (WAM).
UAE melancarkan operasi bantuan udara sejak dua hari lepas untuk membawa peralatan hospital sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan 'Gallant Knight 3' UAE.
Langkah itu selaras dengan usaha negara itu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dan menyokong sistem kesihatan di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA
#Gaza #Gallant Knight 3 #UAE #Perang Palestin-Israel