UAE duduki tempat pertama menggaji warga India

Bernama
Ogos 13, 2023 21:00 MYT
Muraleedharan berkata, lima negara Teluk - UAE, Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Oman - adalah destinasi utama yang menyediakan pekerjaan untuk masyarakat India. - Gambar hiasan/REUTERS
NEW DELHI: UAE menduduki tempat pertama dalam kalangan negara-negara yang menggaji warga India, Menteri Negara Hal Ehwal Luar, V Muraleedharan, memberitahu Lok Sabha, iaitu Dewan Parlimen India.
Bilangan warga India yang bekerja di UAE kini mencecah 3.55 juta, lapor agensi berita Emiriah (WAM).
Jumlah itu meningkat daripada 3.41 juta sebelumnya, menjadikan UAE destinasi paling popular bagi kaum India yang mencari pekerjaan di luar negara.
Muraleedharan juga menyatakan bahawa lima negara Teluk - UAE, Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Oman adalah destinasi utama yang menyediakan pekerjaan untuk masyarakat India, dengan jumlah kolektif 7.93 juta orang.
Kerajaan India telah menubuhkan Pusat Bantuan India Luar Negara di Dubai, Riyadh, Jeddah dan Kuala Lumpur untuk memberi bimbingan dan kaunseling kepada pekerja India di luar negara supaya mereka boleh menjadi contoh penduduk ekspatriat di negara berkenaan.
-- BERNAMA
#UAE #pekerja India di luar negara #warga india #parlimen india