Twitter uji ciri sunting
Agensi
April 7, 2022 23:50 MYT
April 7, 2022 23:50 MYT
TWITTER sedang mengusahakan butang edit atau sunting yang membolehkan pengguna menukar ciapan mereka selepas disiarkan.
Perkembangan ini hadir selepas Ahli Lembaga Pengarah Twitter yang baharu, Elon Musk, membuat tinjauan rambang dalam kalangan pengikutnya di Twitter berkenaan perkara itu.
Twitter berkata pengujian ciri tersebut akan mengambil masa beberapa bulan.
"Kami akan memulakannya menerusi platform @TwitterBlue Labs dalam beberapa bulan akan datang untuk mengetahui jika ia berkesan dan kemungkinan yang akan berlaku," kata Twitter.
Pengguna Twitter Blue, perkhidmatan langganan platform Twitter, akan mendapat akses awal kepada ciri yang sedang diuji itu.
Di bawah fungsi sunting, pengguna boleh membetulkan kesilapan dalam ciapan tanpa menjejaskan respons, retweet atau tanda suka yang telah diperoleh.
Jay Sullivan, naib presiden produk syarikat berkata, butang sunting merupakan "ciri Twitter yang paling banyak diminta pengguna".
"Tanpa perkara seperti had masa, kawalan dan ketelusan, butang sunting boleh disalahgunakan untuk mengubah rekod perbualan awam.
"Melindungi integriti perbualan awam adalah keutamaan kami sebelum mengambil keputusan melaksanakannya," katanya.