Twitter sekat dakwaan 'serangan hospital kanak-kanak palsu' oleh Rusia
Astro Awani
Mac 11, 2022 12:11 MYT
Mac 11, 2022 12:11 MYT
LONDON: Twitter telah memadam dua hantaran oleh kedutaan Rusia di London yang mendakwa pengeboman hospital di Ukraine oleh tentera Rusia telah dipalsukan.
Tweet kedutaan itu membuat dakwaan bahawa Hospital Mariupol yang diserang pada Rabu tidak beroperasi pada ketika itu, dan wanita yang cedera di tempat kejadian ialah pelakon.
Twitter dalam maklumannya kepada BBC berkata tweet itu melanggar peraturan berkaitan dengan penafian peristiwa ganas.
Difahamkan pegawai di Kedutaan Rusia di United Kingdom tidak menawarkan bukti bagi menyokong dakwaan mereka, dan pasukan pemeriksa fakta BBC telah menemui bukti yang bercanggah dengan dakwaan itu.
Pasukan itu mengesan satu catatan pada minggu lalu di akaun Facebook hospital itu yang meminta bahan api untuk meneruskan operasi.
Ia sekali gus menafikan kenyataan Kedutaan Rusia yang mendakwa hospital berkenaan telah "lama tidak beroperasi".
Laporan dari Mariupol minggu lalu juga menyatakan ia sedang merawat mangsa pengeboman, dan wad bersalin telah dipindahkan ke ruang bawah tanah.
Tiga mangsa, termasuk seorang kanak-kanak, maut apabila Rusia menyerang hospital berkenaan pada Rabu.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dalam pada itu menyifatkan Rusia telah melakukan pembunuhan beramai-ramai susulan insiden berkenaan.
Dalam ucapannya lewat Rabu, Zelenskyy berkata 17 orang cedera dalam pengeboman itu dan pasukan penyelamat masih mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan.
#kedutaan Rusia di London
#pengeboman hospital di Ukraine
#Volodymyr Zelenskyy
#twitter padam tweet palsu