Twitter gantung akaun kedutaan China di AS, dakwa kenyataan sokong kekejaman di Xinjiang

Saraya Mia
Januari 21, 2021 20:17 MYT
Kali terakhir akaun kedutaan Republik itu membuat ciapan adalah pada 9 Jan 2021.- Gambar REUTERS
TWITTER menggantung akaun rasmi kedutaan China di Amerika Syarikat (AS) gara-gara satu ciapan yang dianggap mempertahankan polisi China terhadap etnik minoriti Muslim Uighur di Xinjiang.
Menurut platform media sosial berpangkalan AS itu, kenyataan dibuat kedutaan China melalui Twitter pada 7 Januari lalu adalah kontra dengan polisi Twitter yang menentang perlakuan tidak berperikemanusiaan terhadap Muslim Uighur, lapor Reuters.
“Kami menentang sama sekali perlakuan kekejaman terhadap mana-mana kumpulan manusia yang berdasarkan agama, kasta, usia, kecacatan, penyakit kronik, bangsa atau etnik,” kata jurucakap Twitter pada Khamis kepada Reuters.
Menteri Luar China bagaimanapun keliru dengan tindakan Twitter sambil mempertahankan bahawa ia adalah tanggungjawab badan itu untuk mengecam kenyataan palsu dan menyebarkan perkara sebenar.
Akaun kedutaan China (@ChineseEmbinUS) telah membuat ciapan awal bulan ini yang mengatakan wanita Uighur kini bebas dan bukan lagi dianggap “mesin membuat bayi”, sambil memetik kajian yang dilaporkan China Daily.
Ciapan itu telah dibuang oleh Twitter dan tidak lagi boleh diakses.
Kali terakhir akaun kedutaan Republik itu membuat ciapan adalah pada 9 Jan 2021.
Walaupun penggunaan Twitter dan beberapa platform media sosial popular dunia yang lain dilarang di China, namun rakyat republik itu di luar negara termasuk diplomat sering menggunakan Twitter bagi tujuan mempertahankan kedudukan China di persada dunia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya sejuta rakyat Uighur dan kumpulan Islam lain ditahan di kem di Xinjiang, namun China berkali-kali menafikan dakwaan berkenaan.
BACA: Penjara di China umpama neraka - Etnik Uighur
#China #Twitter #etnik minoriti #Uighur #media sosial #disekat #Twitter gantung #akaun
;