Twitter Blue dilancar pada Isnin, langganan lebih mahal untuk pengguna Apple

Bernama
Disember 11, 2022 15:09 MYT
Ciri berbayar Twitter Blue termasuk tanda semak biru, keupayaan menyunting ciapan, memuat naik video berkualiti tinggi dan paparan mod pembaca. - Fail
WASHINGTON: Twitter Blue akan mula dilancarkan minggu depan, lapor Sputnik.
"Kami akan melancarkan semula @TwitterBlue pada Isnin," menurut Twitter di halaman rasminya pada Sabtu.
Twitter akan mula mengenakan bayaran AS$8 (RM35) sebulan bagi langganan menerusi sesawang, manakala langganan iOS berharga AS$11 (RM49) sebulan.
Ciri berbayar termasuk tanda semak biru, keupayaan menyunting ciapan, memuat naik video berkualiti tinggi dan paparan mod pembaca.
"Kami akan mula menggantikan label 'rasmi' dengan tanda semak berwarna emas bagi perniagaan, dan tanda semak berwarna kelabu untuk akaun kerajaan dan pelbagai hala.
"Pelanggan dapat menukar ketetapan termasuk nama paparan dan foto, tetapi jika mereka berbuat demikian, mereka akan kehilangan tanda semak biru buat sementara waktu sehingga akaun mereka disemak semula," menurut Twitter.
Pada akhir Oktober, jutawan Elon Musk memuktamadkan pemerolehan ke atas Twitter bernilai AS$44 bilion.
Musk merombak operasi harian syarikat, termasuk menamatkan perkhidmatan separuh pekerjanya dan eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas penetapan privasi, keselamatan siber dan penapisan platform berkenaan.
-- BERNAMA
#Twitter Blue #harga langganan #pengguna Apple
;