Tweet 'nasi goreng' Rio Ferdinand cetus perdebatan di Twitter
Kohilah Sekaran
September 19, 2016 20:29 MYT
September 19, 2016 20:29 MYT
Bekas pemain bola sepak England dan Manchester United, Rio Ferdinand mencetuskan perdebatan di Twitter selepas beliau berkongsi gambar dirinya sedang menjamu nasi goreng.
Pemain berusia 37 tahun itu yang kini berada di Singapura untuk Grand Prix Singapura, memuat naik tweet dengan menulis , "Makan tengah hari nasi goreng... Kekalkan cara tempatan di #Singapura".
Namun, tweet itu mencetuskan perdebatan di kalangan netizen Indonesia yang tidak puas hati dengan kenyataan nasi goreng adalah hidangan tempatan Singapura.
Mereka berdebat serta mempertahankan hidangan itu dengan mengatakan nasi goreng berasal dari Indonesia.
Seorang pengguna, Agu Psetyo mendakwa tidak ada perkataan "nasi" dan "goreng" di Singapura, manakala seorang lagi menulis: "Hey Rio, nasi goreng adalah makanan Indonesia, dan nasi goreng adalah bahasa Indonesia!"
Sementara itu, sesetengah netizen pula berkata, nasi goreng merupakan sajian yang popular dan istimewa di Asia Tenggara.
Ferdinand yang terkejut dengan perdebatan itu kemudian berkata, perkataan 'local' yang dimaksudkan ialah Asia Tenggara, dan bukannya khusus satu negara.