AS tutup kedutaan di Kyiv susulan kebimbangan serangan udara Rusia

Bernama
November 20, 2024 23:57 MYT
Kedutaan itu turut mengesyorkan warga AS di Kyiv supaya "bersiap sedia untuk segera berlindung jika peringatan serangan udara diumumkan". - Reuters
KYIV: Amerika Syarikat (AS) telah menutup kedutaannya di sini berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan udara Rusia, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dalam satu hantaran pada Rabu, kedutaan itu memaklumkan pihaknya "telah menerima maklumat khusus mengenai potensi serangan udara besar pada 20 Nov".
"Sebagai langkah berjaga-jaga, kedutaan akan ditutup, dan staf kedutaan diarahkan untuk berlindung di tempat selamat," menurut kenyataan itu.
Kedutaan itu turut mengesyorkan warga AS di Kyiv supaya "bersiap sedia untuk segera berlindung jika peringatan serangan udara diumumkan".
Amaran itu dikeluarkan sehari selepas Kyiv memperingati hari ke-1,000 sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran pada Februari 2022, dan selepas Washington membenarkan Ukraine menggunakan peluru berpandu ATACMS terhadap sasaran di wilayah Rusia.
Menurut laporan media AS, Presiden Joe Biden telah memperluas kebenaran untuk Kyiv menyerang sasaran di Rusia sebagai tindak balas kepada penglibatan tentera Korea Utara di pihak Moscow.
Rusia menyifatkan langkah itu sebagai suatu peningkatan konflik dan melibatkan Amerika Syarikat serta negara-negara Barat lain secara langsung dalam perang.
Kedutaan AS secara berkala mengeluarkan amaran mengenai serangan udara besar, termasuk pada Mac dan Ogos tahun ini, namun penutupan kedutaan merupakan langkah luar biasa.
-- BERNAMA
#kedutaan ditutup #Amerika Syarikat #serangan udara #Rusia #Kyiv
;