Turkmenistan Airlines perkenal laluan Ashgabat-KL

Bernama
Februari 13, 2024 21:15 MYT
Turkmenistan Airlines sedang mengembangkan rangkaian antarabangsanya dengan memperkenalkan empat laluan baharu, termasuk satu ke Kuala Lumpur. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Turkmenistan Airlines sedang mengembangkan rangkaian antarabangsanya dengan memperkenalkan empat laluan baharu, termasuk satu ke Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Selasa, Kedutaan Turkmenistan di Kuala Lumpur berkata syarikat penerbangan nasional negara itu akan mengendalikan penerbangan dua kali seminggu Ashgabat-Kuala Lumpur bermula 15 Feb.
"Penerbangan dari Turkmenistan ke Malaysia akan dilakukan pada setiap Selasa dan Khamis manakala penerbangan Malaysia ke Turkmenistan pada Rabu dan Khamis," menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan Turkmenistan itu juga akan terbang ke Jeddah, Arab Saudi tiga kali seminggu bermula 16 Feb.
Turkmenistan Airlines juga menambah dua lagi laluan antarabangsa dari Ashgabat ke Ho Chi Minh, Vietnam yang akan dikendalikan dua kali seminggu dari 5 Mac dan ke Milan, Itali, sekali seminggu bermula 6 Mac.
Kedutaan itu berkata peningkatan dalam rangkaian antarabangsa adalah hasil daripada Program Nasional untuk Pembangunan Penerbangan Awam Turkmenistan bagi tahun 2012-2030, inisiatif yang diperkenalkan oleh pemimpin negara, bekas Presiden Gurbanguly Berdimuhamedow.
Menurut kedutaan, di bawah pimpinan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow, aktiviti dalam bidang itu dilaksanakan secara konsisten.
-- BERNAMA
#Turkmenistan Airlines #laluan #Kuala Lumpur #penerbangan
;