Turkiye tahan tujuh suspek atas dakwaan mengintip untuk Mossad

Bernama
Februari 2, 2024 19:13 MYT
Ankara memberi amaran bahawa Israel akan berdepan "akibat buruk" jika menjejaki Hamas di Turkiye.
ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkiye pada Jumaat menahan tujuh suspek atas dakwaan menjual maklumat kepada agensi perisik Israel Mossad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan Agensi Berita Anadolu.
Wall Street Journal sebelum ini melaporkan bahawa Perkhidmatan Rahsia Israel sedang bersiap sedia menjejaki dan membunuh pemimpin-pemimpin Hamas Palestin di seluruh dunia selepas tamatnya perang Gaza.
Sementara itu, Ankara memberi amaran bahawa Israel akan berdepan "akibat buruk" jika menjejaki Hamas di Turkiye.
Unit antikeganasan dan perkhidmatan perisikan menyerbu sebuah alamat di Istanbul dan wilayah Aegean Izmir selepas waran tangkap dikeluarkan pejabat ketua pendakwa raya Istanbul, lapor Anadolu.
Sebelum ini, dua lagi suspek telah ditahan secara berasingan berhubung siasatan yang sama.
Suspek dituduh mengumpul maklumat mengenai individu yang menjadi sasaran Mossad di Turkiye menerusi penyiasat persendirian.
Mereka didakwa menjual foto dan data penjejakan, antara lain kepada Mossad.
Turkiye baru-baru ini meningkatkan usahanya menjejaki individu-individu yang didakwa anggota Mossad di dalam negara.
Ankara bimbang Mossad sedang merekrut individu untuk menyasarkan warga asing, dengan laporan media melaporkan anggota Hamas berada di negara itu.
Pada Januari, polis Turkiye menahan 34 individu atas dakwaan "melakukan pengintipan" untuk Mossad.
-- BERNAMA
#Turkiye #Israel #Mossad #Hamas #Gaza #Palestin
;