Turkiye antara negara paling terdedah berita palsu - Presiden Erdogan
Bernama
Disember 2, 2022 19:14 MYT
Disember 2, 2022 19:14 MYT
ANKARA: Turkiye adalah antara negara yang paling terdedah kepada berita palsu apabila maklumat palsu merebak ketika proses pendigitalan, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat.
"Turkiye adalah antara negara yang paling terdedah kepada berita palsu di dunia kerana lokasinya yang strategik, dasar-dasar yang dilaksanakan dan prinsipnya terhadap isu serantau dan global," kata Erdogan dalam mesejnye menerusi video di Sidang Kemuncak Stratcom 2022, lapor Agensi Anadolu.
Sidang kemuncak di Istanbul itu berlangsung selama dua hari bermula Jumaat dan peserta akan membincangkan pelbagai topik global merangkumi bidang komunikasi strategik.
Bertemakan "Strategic Communication in the Age of Uncertainty" platform itu akan menampilkan 52 penceramah dari lebih 24 negara dan menghimpunkan lebih 3,000 penonton.
Erdogan berkata transformasi besar-besaran sedang berlaku dalam komunikasi, sumber berita dan pendigitalan manakala pencemaran maklumat dan berita palsu merupakan dua cabaran paling ketara ketika ini.
Presiden itu juga menegaskan bahawa saluran digital perlu digunakan lebih kerap sebagai elemen psikologi dalam menangani ketegangan dan persaingan antara negeri.
"Perjuangan kita menentang organisasi pengganas terutamanya Deash, FETO dan PKK telah berulang kali mendedahkan kebenaran yang ketara ini.
"Gaya bahasa beberapa pertubuhan media antarabangsa yang kita saksikan selepas tindakan pengganas di Istiklal Avenue seolah membela tindakan pelaku," kata beliau.
Erdogan berkata pemahaman baharu tentang komunikasi berorientasikan kebenaran amat diperlukan saat ini.
Pada 13 Nov, kumpulan pengganas YPG/PKK melakukan serangan di Istiklal Avenue hingga mengorbankan enam nyawa manakala 81 lagi cedera.
-- BERNAMA