Turkiye akan terus tingkatkan tekanan ke atas Israel - Presiden Erdogan
Agensi
Ogos 14, 2024 06:45 MYT
Ogos 14, 2024 06:45 MYT
ANKARA: Presiden Tayyip Erdogan memberitahu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bahawa Turkiye akan terus menyokong perjuangan Palestin dan mendorong masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan ke atas Israel.
Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Erdogan dan Mahmoud membincangkan perkembangan terkini dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk gencatan senjata yang berkekalan dan keamanan di Gaza, kata pejabat Presiden Turkiye dalam catatan di X.
Erdogan mengecam perang Israel di Gaza, kata kenyataan itu serta menuduh beberapa negara Barat berdiam diri dan terus menyokong Israel.
Bahkan, beliau turut memberitahu Mahmoud bahawa semua negara terutama di dunia Islam harus meningkatkan usaha untuk memastikan gencatan senjata segera di Gaza dan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa gangguan kepada rakyat Palestin.
Mahmod berkunjung ke Turkiye dan mengadakan pertemuan dengan Erdogan serta akan berucap pada sesi luar biasa Parlimen negara itu hari ini.
Serangan Israel ke atas Gaza bermula selepas pasukan pejuang Palestin, Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Susulan itu, reijm Zionis melancarkan serangan bertalu-talu sehingga mengorbankan lebih 30,000 nyawa rakyat Palestin.
Kekejaman Israel mencetus kemarahan seluruh dunia.
Turkiye juga dalam masa sama telah mengecam perang dan menghentikan semua dagangan dengan Israel.
Negara itu turut mengemukakan permintaan untuk menyertai kes Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Pelawaan Turkiye kepada Mahmoud dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap di Kongres Amerika Syarikat (AS) pada 25 Julai lalu yang dikutuk oleh Ankara.
"Kami akan menunjukkan bahawa Presiden Mahmoud mempunyai hak untuk berucap di Parlimen kami sama seperti Netanyahu mempunyai hak untuk berucap di Kongres AS," kata Erdogan kepada anggota Parti AK yang memerintah pada hari Rabu sebelum bertemu Mahmoud.
Erdogan yang selama ini menjadi penyokong tegar Hamas berkata, Turkiye juga sebelum ini telah merancang untuk menjemput pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran, Iran. - Agensi