Turkish Airlines perkenal laluan Phnom Penh menjelang akhir tahun

Bernama
Mac 3, 2025 06:15 MYT
Kemboja menjadi destinasi ketujuh Turkish Airlines di Asia Tenggara, manakala Phnom Penh merupakan bandar ke-11 yang ditambah ke dalam rangkaian penerbangannya.
ISTANBUL: Syarikat penerbangan nasional Turkiye, Turkish Airlines mengumumkan pada Isnin bahawa ia akan memulakan penerbangan ke ibu negara Kemboja, Phnom Penh mulai 10 Disember, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dengan laluan baharu ini, Kemboja menjadi destinasi ketujuh Turkish Airlines di Asia Tenggara, manakala Phnom Penh merupakan bandar ke-11 yang ditambah ke dalam rangkaian penerbangannya.
Penambahan penerbangan ini dijangka memberi kesan positif terhadap perdagangan antara Turkiye dan Kemboja, sekali gus menjadikan rangkaian Turkish Airlines di Timur Jauh merangkumi 20 bandar dan 21 lapangan terbang.
Mulai 10 Disember, penerbangan akan beroperasi tiga kali seminggu dengan laluan Istanbul-Phnom Penh pada Rabu, Jumaat dan Ahad, manakala penerbangan balik dari Phnom Penh ke Istanbul pada Isnin, Khamis dan Sabtu.
Mengulas mengenai pengumuman itu, Pengerusi Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Eksekutif Turkish Airlines, Ahmet Bolat berkata, syarikat penerbangan itu terus mengembangkan rangkaian penerbangannya di Asia.
"Penerbangan ke Phnom Penh akan menjadi langkah penting dalam mencapai matlamat ini. Penerbangan kami ke Kemboja akan membuka peluang baharu untuk sektor pelancongan dan perniagaan," katanya.
- BERNAMA
#Turkish Airlines #laluan Phnom Penh #Turkiye-Kemboja #Istanbul-Phnom Penh
;