Turki tidak perlukan bantuan, sokongan EU - Erdogan
Bernama
September 19, 2023 12:20 MYT
September 19, 2023 12:20 MYT
ANKARA: Turki tidak pernah memerlukan bantuan atau sokongan daripada Kesatuan Eropah (EU), kata Presiden Recep Tayyip Erdogan, lapor Sputnik.
Erdogen yang ditanya sama ada Turki bersedia untuk meninggalkan proses menyertai EU berkata, Turki memberi keutamaan kepada keputusan EU.
"Sekiranya EU membuat keputusan sedemikian, kami akan terima. Turki sudah berada di depan pintu EU selama lima dekad lepas dan kami sentiasa berdikari.
"Kami tidak pernah bergantung pada sumbangan atau sokongan daripada EU dan nyata kami tidak perlukannya," kata Erdogan.
Turki menandatangani Ankara Agreement atau Agreement Creating an Association antara Republik Turki dan Komuniti Ekonomi Eropah (EEC sebelum EU), pada tahun 1963 dan memohon keahlian penuh pada tahun 1987.
Rundingan mengenai penyertaan Turki ke EU bermula pada 2005 tetapi terhenti atas kebimbangan blok itu mengenai pencabulan hak asasi manusia di Turki. - BERNAMA