Turki tawar RM3.5 juta bantu cekup dua rakyat Amerika Syarikat

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 13, 2017 00:08 MYT
Pemburuan tersebut bukanlah kali pertama dilaksanakan Ankara kerana ketika ini Turki telah menahan beberapa warganegara Amerika Syarikat yang terlibat dakwaan sama. - Gambar fail
Turki menawarkan 3 juta Lira atau RM3.5 juta kepada sesiapa sahaja yang berjaya menemui dua individu yang juga bekas pegawai tentera dan perisikan Amerika Syarikat yang didakwa terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada 2016.
Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan perkara itu pada Selasa selepas pendakwaraya Turki mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas pegawai Pentagon Michael Rubin dan bekas pegawai perisikan CIA Graham Fuller.
Rubin dan Fuller didakwa menjadi dalang yang bersekongkol dengan kumpulan berhaluan kiri di Turki dalam cubaan rampasan kuasa tahun lalu.
Kedua-dua individu terbabit sebelum itu dikatakan menjadi pengkritik hebat pentadbiran Erdogan.
Pemburuan tersebut bukanlah kali pertama dilaksanakan Ankara kerana ketika ini Turki telah menahan beberapa warganegara Amerika Syarikat yang terlibat dakwaan sama.
Sementara itu Jabatan Negara Amerika Syarikat memaklumkan menerima laporan berhubung Rubin dan Fuller.
Jabatan terbabit menyifatkan pemburuan ke atas bekas pegawai kerajaan Amerika Syarikat terlibat sebagai tidak masuk akal.
#2016 #Amerika Syarikat #Ankara #AS #CIA #Turki