Turki tahan 103 jeneral, laksamana selepas cubaan rampasan kuasa

Agensi
Julai 18, 2016 09:38 MYT
Tentera Turki mengawal kawasan sementara penyokong Erdogan menjalankan protes di Dataran Taksim pada Sabtu 16 Julai 2016. - Foto AP
Turki menahan sejumlah 103 jeneral dan laksamana tentera selepas cubaan rampasan kuasa gagal menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan, lapor AFP yang memetik media tempatan.
Semua pemimpin tertinggi tentera berkenaan ditahan di seluruh negara selepas percubaan rampasan kuasa pada Jumaat lalu, kata agensi berita Anadolu.
Kesemua mereka kini dihadapkan ke mahkamah untuk mendapatkan perinbtah reman dan penahanan.
Sepuluh jeneral tentera sudahpun direman sebelum perbicaraan, lapor agensi media Dogan.
Mereka yang ditahan itu dituduh mencabul perlembagaan Turki dan cuba menggulingkan kerajaan secara paksaan.
Mereka juga dituduh mempunyai kaitan dengan Pertubuhan Keganasan Fethullahci (FETO) yang diketuai Fethullah Gulen, iaitu bekas ahli politik dalam buangan yang Erdogan namakan sebagai 'dalang' di sebalik percubaan rampasan kuasa itu.
Bagaimanapun, para penyokong Gulen berkata kumpulan mereka yang dinamakan sebagai Hizmet itu, sebuah kumpulan yang memihak kepada keamanan.
#Istanbul #Rampasan kuasa Turki #recep tayyip erdogam #tentera #Turki