Turki keluar waran tangkap ke atas Fethullah Gulen
Agensi
Ogos 5, 2016 09:06 MYT
Ogos 5, 2016 09:06 MYT
Turki pada Khamis secara rasmi mengeluarkan waran tangkap ke atas Fethullah Gulen berkaitan cubaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 15 Julai lalu.
Sebuah mahkamah telah mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap ilmuwan Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, yang menjadi sasaran pentadbiran Erdogan kerana dikatakan menjadi perancang utama kudeta tersebut, lapor AFP.
Gulen menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan gerakan yang diketuainya menegaskan Gulen hanya mempromosi rangkaian Islam yang toleran.
Turki sebelum ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Gulen pada Disember 2014 atas dakwaan merancang dan mengarahkan ‘organisasi pengganas bersenjata’ serta menggunakan tekanan untuk menghalang kebebasan.
Ankara telah beberapa kali menghubungi AS untuk mengekstradisi Gulen, dengan menghantar dua set dokumen kepada Washington sejak cubaan rampasan kuasa sebagai bukti penglibatannya.
Turki bagaimanapun masih belum membuat permintaan ekstradisi rasmi kepada AS untuk menyerahkan Gulen.
Pada 15 Julai lalu, sekumpulan pecahan tentera cuba melaksanakan serangan ke atas Parlimen dan Istana Presiden Turki. Sekurang-kurangnya 238 orang terbunuh dan hampir 2,200 cedera selepas orang ramai keluar ke jalanan untuk menlumpuhkan kudeta tersebut.
Sejak itu juga, ribuan telah dilucut peranan mereka dalam organisasi kehakiman, polis, tentera dan sistem pendidikan, berikutan dituduh menjadi ahli gerakan kudeta berkenaan.