Turki gesa Republik Czech ekstradisi bekas pemimpin Kurdish-Syria
Agensi
Februari 25, 2018 06:15 MYT
Februari 25, 2018 06:15 MYT
Turki menggesa Republik Czech agar mengekstradisi bekas pemimpin Kurdish-Syria dari Parti Kesatuan Demokrat (PYD) yang ditahan di negara itu pada Ahad.
Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, bekas pengerusi PYD itu, Salih Muslim, bertanggungjawab ke atas beberapa serangan keganasan yang berlaku di Turki.
"Sekarang ketua PYD telah ditangkap. Harapan kami, Insya Allah, agar Republik Czech akan menyerahkannya kepada Turki dan diadili atas perbuatannya.
"Mereka ini telah memecahbelahkan komuniti Islam dan ini adalah perjuangan kita menentang pengganas.
"Kita tidak mempunyai masalah dengan saudara-saudara Kurdish kami," jelasnya.
Salih yang berada dalam senarai Interpol telah ditahan pihak berkuasa Republik Czech di sebuah hotel di Prague.
Penahanan Salih dilakukan dengan kerjasama Interpol Turki dengan pihak berkuasa republik itu.
Laporan awal menyebut bekas pemimpin berusia 67 tahun itu berada di Prague bagi menghadiri satu persidangan antarabangsa pada Isnin.
Buat masa ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dibuat Republik Czech berhubung permintaan ekstradisi yang diusul Erdogan.
#ekstradisi
#Interpol
#Kurdish
#Parti Kesatuan Demokrat
#pengganas
#Recep Tayyip Erdogan
#Salih Muslim
#serangan
#Syria
#Turki