Turki gesa AS berhenti gerak militan Kurdish Syria dari Manbij ke Afrin
Bernama
Mac 8, 2018 18:37 MYT
Mac 8, 2018 18:37 MYT
Turki meminta Amerika Syarikat (AS) berhenti menggerakkan kumpulan militan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) dari Manbij ke Afrin di Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap presiden pada Rabu.
"Turki telah mengambil langkah-langkah yang perlu melalui saluran rasmi antara kedua-dua negara. Turki berhak untuk meminta AS menghentikan langkah sedemikian,” kata Ibrahim Kalin kepada pemberita di Ankara.
Pada awal minggu ini, Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS mengumumkan bahawa mereka telah menghantar tentera ke wilayah Afrin bagi membantu YPG dalam perjuangan mereka menentang tentera Turki.
Turki telah berulang kali berikrar untuk menggerakkan operasi ketenteraannya ke bandar strategik Manbij di mana kira-kira 2,000 tentera AS ditempatkan.
Washington telah melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan tentera AS di Manbij berikutan operasi ketenteraan Turki ke atas militan YPG di Afrin, yang terletak di barat laut Syria, sejak 20 Jan.
Hubungan antara Turki dan AS agak tegang berikutan sokongan Washington kepada YPG, yang dianggap Ankara sebagai sekutu Parti Pekerja Kurdistan Syrian (PKK).
-- BERNAMA