Tuntutan LCS: Filipina calar ego China dengan sekumpulan 'nelayan'

Astro Awani
Oktober 1, 2023 11:24 MYT
Dalam paparan video tersebut, seorang penyelam dilihat terjun dan berenang di bawah permukaan air ke tali yang diletakkan di salah satu hujung pelampung. - Foto ihsan Pasukan Pengawal Perairan Filipina
ENGGAN mengaku kalah terhadap tindakan China memasang penghadang terapung di sekitar Scarborough Shoal, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr baru-baru ini dilaporkan mengarahkan pasukan keselamatan perairannya melaksanakan satu misi khas - memotong penghadang itu tanpa dikesan.
Memetik kronologi kejadian berdasarkan laporan Wall Street Journal, pasukan khas tersebut memulakan perancangan yang mudah tetapi efektif - menyamar sebagai nelayan menggunakan sampan kayu dan menyelam untuk melepasi kawalan kapal Pengawal Perairan China.
Komodor Jay Tarriela, jurucakap bagi pasukan Pengawal Perairan Filipina berkata, pasukan tersebut berjaya mengelak dikesan empat kapal Pengawal Perairan China dan memotong penghadang tersebut tanpa disedari.
“Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada rakyat Filipina, menunjukkan kepada dunia, bahawa kami sekarang akan berdiri menentang pengganas," kata Tarriela.
"Ini adalah mesej utama daripada apa yang kami lakukan."
Dalam paparan video berkaitan yang disiarkan pasukan Pengawal Perairan Filipina pada 25 Sept lepas, seorang penyelam dilihat terjun dan berenang di bawah permukaan air ke tali yang diletakkan di salah satu hujung pelampung.
Penyelam itu kemudian memotong tali itu dengan pisau, sebelum anggota yang lain kemudiannya menarik sauh yang mengikat penghalang itu, dan segera beredar.
“Pelampung itu telah dihanyutkan, tidak lagi menghalang laluan masuk ke kepulauan batu karang,” kata Tarriela lagi.
Beliau berkata, walaupun tindakan itu dilihat kecil dan tiada kesan praktikal ke atas nelayan Filipina, namun ia disifatkan dilakukan dengan berani.
Begitu pun, mereka masih tidak boleh memasuki pulau karang, yang dijaga oleh kapal China pada setiap masa.
Namun tegasnya lagi, ia bertujuan untuk menunjukkan kepada China bahawa mereka tidak mudah mengaku kalah, sebaliknya akan terus berusaha menyerlahkan usaha baharu oleh Filipina untuk menentang tuntutan China di Laut China Selatan.
Media sebelum ini melaporkan, China pada minggu lepas telah mengapungkan pelampung sepanjang hampir 1,000 kaki di sekitar Scarborough Shoal, kawasan terumbu yang terletak kira-kira 120 batu nautika dari Filipina, yang sekian lama mewujudkan ketegangan maritim antara kedua-dua negara tersebut.
Tarriela berkata, Kapal Pengawal Perairan China sentiasa mengawal kawasan tersebut, dengan sekurang-kurangnya sebuah daripadanya mengawal bukaan ke lagun.
Yang lain pula, katanya lagi, akan meronda di kawasan sekitar, membayangi bot Pengawal Pantai dan Jabatan Perikanan Filipina untuk menjauhkan mereka, kebiasaannya pada jarak 8 atau 10 batu nautika dari terumbu.
“Selama beberapa bulan, pihak berkuasa Filipina telah mencuba untuk mendekatinya.
"Kami hanya berusaha untuk terus melepasi halangan - setiap kali kami berjaya mencapai suatu titik tertentu," tambahnya.
Selain itu Filipina juga dilaporkan menggunakan taktik baharu, iaitu membenarkan wartawan mengikuti rondaan mereka bagi membolehkan sebarang tindakan provokasi China dilaporkan secara langsung.
Walaupun tindakan Filipina ini menunjukkan mereka sedang memikirkan cara baharu untuk melaksanakan haknya di Laut China Selatan, beberapa pihak berpandangan ia mungkin akan menimbulkan risiko terhadap negara itu.
"Kita masih perlu memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya China memilih untuk melaksanakan kelebihan keupayaan tindak balasnya," kata Julio S Amador III, ketua eksekutif firma rundingan Amador Research Services, yang mengkhususkan dalam isu-isu strategik melibatkan Filipina.
"Apakah objektif akhir, dan bagaimana Filipina akan menangani tindak balas lanjut daripada pihak China?"
Namun, kata Tarriela, misi terkini yang dilaksanakan oleh Penjaga Pantai Filipina adalah kecil berbanding tindakan provokasi berterusan China.
"China menggunakan laser ketenteraan. China melakukan banyak tindak-tanduk berbahaya. China menggunakan meriam air.
"Mereka telah melakukan banyak tindakan provokatif dan agresif yang meningkatkan ketegangan," kata Tarriela.
"Adakah mereka marah kerana kami memotong tali sauh mereka?"
#Filipina #Laut China Selatan #China #kapal pengawal perairan
;