Tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak munasabah: Ini sebabnya..

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli
September 20, 2020 20:43 MYT
Filipina dan Malaysia telah pun menandatangani Perjanjian Kerjasama Anti-Penyeludupan pada tahun 1967 yang mana Klausa 1 dan Klausa 2 Perjanjian ini secara langsung dan tidak langsung mengakui Sabah milik Malaysia. - Foto Fail / Unsplash
FILIPINA telah memulakan tuntutan ke atas Sabah pada tahun 1962 tetapi bersetuju untuk tidak meneruskannya seperti yang diumumkan oleh Presiden Filipina pada ketika itu, Ferdinand Marcos sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 1977.
Namun, pada tahun 2016, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pernah dilaporkan akan meneruskan tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Setelah itu, tuntutan ini bisu membeku sebelum digembar-gemburkan sekali lagi baru-baru ini menjelang pilihanraya Presiden Filipina yang bakal menerpa pada tahun 2022.
Persoalannya, bolehkah Filipina menuntut Sabah daripada Malaysia?
Sabah dan Kesultanan Sulu
Sabah, atau nama zaman penjajahannya, Borneo Utara, pernah menjadi wilayah jajahan Kesultanan Brunei. Pada tahun 1658, Sultan Brunei menyerahkan Sabah kepada Sultan Sulu atas jasa kerajaan tersebut membendung perang saudara yang meletus di Brunei pada ketika itu.
Apabila Filipina jatuh ke tangan penjajah Sepanyol, British telah mengambil inisiatif untuk berkuasa di Sabah. Pihak Amerika yang mengambil alih pemerintahan ke atas Filipina daripada Sepanyol pada tahun 1898 telah menghapuskan kedudukan kesultanan Sulu sebagai negara berdaulat melalui Perjanjian Carpenter ditandatangani pada 22 Mac 1915.
Pada 22 Januari 1878, suatu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Sulu dan dua agen British, Alfred Dent dan Baron von Overback (berkebangsaan Jerman), perjanjian yang telah menyerahkan atau ‘menyewakan selama-lamanya’ Borneo Utara kepada British, dengan pulangan pembayaran sebanyak 5, 000 dolar Malaya setahun kepada Sultan Sulu.
Pembayaran ini telah ditingkatkan kepada 5, 300 dolar Malaya apabila wilayah yang diserahkan meliputi pulau-pulau persisiran Borneo Utara dari Pulau Banggi ke Teluk Sibuku.
Sewaktu Perang Dunia Kedua, Sabah telah dijadikan sebahagian dari Empayar Jepun. Sabah telah dijadikan tanah jajahan mahkota British setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 sehingga kemerdekaan Sabah di dalam Malaysia pada tahun 1963.
Sungguhpun Sabah telah berdekad lamanya bersama-sama 13 negeri yang lain menjadi sebahagian daripada Malaysia, ahli-ahli politik Filipina masih memainkan sentimen politik untuk menuntut Sabah daripada Malaysia.
Tidak jelas sama ada Filipina akan meneruskan usaha tuntutan ini menerusi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau tidak.
Undang-undang Antarbangsa
Sesebuah negara boleh mendapatkan kedaulatan ke atas mana-mana wilayah sekiranya kedaulatan ke atasnya ditukarkan atau diserahkan oleh sesebuah negara ke negara yang lain.
Sabah telah diserahkan kepada British oleh Kesultanan Sulu pada 1878.
Sabah dikuasai Jepun di antara tahun 1941 sehingga 1945 dan setelah itu British kembali memerintah Sabah sehingga tahun 1963.
Menerusi hasil dapatan Suruhanjaya Cobbold, Sabah secara sukarela bergabung di dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 apabila Persekutuan ini dibentuk hasil gabungan tanah jajahan British iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Negara Malaya yang berdaulat.
Di bawah undang-undang antarabangsa, preskripsi merujuk kepada pemerolehan kedaulatan menerusi pengamalan kedaulatan yang sebenar dan ianya dikekalkan untuk jangka masa yang munasabah.
Malaysia telah, sejak 1963, mentadbir Sabah tanpa sebarang bantahan berterusan oleh negara-negara anggota PBB.
Sejak tahun 1963, Malaysia telah melaksanakan pemerintahan efektif dalam mentadbir Sabah serta memperuntukkan dana dan meransang pelaburan bagi memajukan ekonomi negeri ini dengan masyarakat antarabangsa mengakui Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
Kerajaan Malaysia telah menubuhkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera, membangunkan sistem pendidikan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Sabah.
Rakyat Sabah memiliki kad pengenalan Malaysia, bukannya Filipina.
Dunia juga mengakui kedaulatan Malaysia ke atas Sabah. Sebagai sebuah negeri yang dikurniakan kecantikan alam yang tiada tandingannya, Sabah adalah destinasi pelancongan yang mashyur bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Pelancong-pelancong asing yang ingin ke Sabah, tidak kira dari Filipina, Indonesia, Amerika Syarikat, Afrika Selatan atau United Kingdom perlu melewati pos kawalan imigresen Malaysia di pintu-pintu masuk antarabangsa di Sabah dan mendapatkan kelulusan masuk menerusi cop imigresen Malaysia di pasport masing-masing.
Malah, pelancong dari Tanah Melayu, atau Semenanjung Malaysia juga perlu berbuat yang sama – mendapatkan cop masuk ke Sabah menerusi imigresen Malaysia.
Ini telah berlangsung berdekad lamanya sekaligus menunjukkan bahawa dunia mengakui kedaulatan Malaysia ke atas Sabah.
Sekiranya betul Filipina berkeras menuntut Sabah, kenapa Filipina tidak secara berterusan membantah amalan kedaulatan Malaysia ke atas Sabah sejak 1963?
Kesimpulan
Sabah pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Sulu.
Walaubagaimanapun, Kesultanan Sulu telahpun dihapuskan dan tidak lagi diiktiraf sebagai entiti politik sejak 1898, sama seperti Kesultanan Melaka yang roboh pada tahun 1511, Kesultanan Pattani yang telah dibubarkan pada 1902 oleh Siam, Kesultanan Riau-Lingga yang dimansuhkan oleh Belanda 1911 ataupun Kesultanan Siak yang telah terintegrasi di dalam Indonesia pada tahun 1945.
Kesultanan Sulu tidak memiliki status seperti kesultanan-kesultanan Melayu yang ada di Malaysia ataupun Brunei yang diiktiraf dan berdaulat.
Tidak seperti Laut China Selatan yang dituntut oleh banyak negara, kedaulatan ke atas Sabah sudah diakui milik Malaysia.
Malah, Filipina dan Malaysia telah pun menandatangani Perjanjian Kerjasama Anti-Penyeludupan pada tahun 1967 yang mana Klausa 1 dan Klausa 2 Perjanjian ini secara langsung dan tidak langsung mengakui Sabah milik Malaysia.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Perdana Menteri Kedua, Bapa Pembangunan Malaysia, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Filipina pada ketika itu, Encik Narciso Ramos.
Sekiranya benar Filipina bertekad ingin menuntut Sabah, kenapa Perjanjian ini dimaterai di antara kedua-dua negara dahulu?
Negeri Sabah berkembang maju setelah merdeka di dalam Malaysia dan kemakmuran yang dikecapi Sabah telah menjadikannya tambang emas bukan sahaja untuk rakyat tempatan, tetapi juga pendatang asing yang menetap di negeri tersebut.
Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
Oleh itu, tuntutan Filipina ke atas Sabah adalah tidak munasabah.

* Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#ASEAN #ekonomi #Filipina #PBB #politik #Rodrigo Duterte #sejarah #tuntutan Sabah #undang-undang
;