Tunjuk perasaan: PBB terima maklumat 18 maut di Myanmar

Astro Awani
Februari 28, 2021 05:22 MYT
Penunjuk berlindung di sebalik perisai dalam pertempuran dengan polis di Yangon, Myanmar pada 28 Februari. - REUTERS
PIMPINAN Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan mereka menerima laporan bahawa setakat ini 18 orang terbunuh manakala 30 yang lain cedera di Myanmar.
Ia selepas pihak berkuasa melepaskan tembakan dalam usaha meleraikan penunjuk perasaan pada Ahad.
Ini merupakan jumlah kematian tertinggi harian dalam kalangan penunjuk perasaan.
Mereka menuntut pembebasan Aung San Suu Kyi sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan pemimpin itu pada 1 Februari lalu.
Jurucakap PBB, Ravina Shamdasani memaklumkan kepada portal berita AP, pihaknya bimbang jumlah kematian akan meningkat setiap hari.
Jelasnya, apa yang lebih membimbangkan adalah tentera sebelum ini mempunyai rekod melakukan pelanggaran hak asasi manusia tanpa berdepan sebarang hukuman.
Media tempatan melaporkan, pada Ahad beberapa siri tunjuk perasaan diadakan di bandar-bandar utama negara itu termasuk Yangon, Dawei, Mandalay, Myeik, Bago dan Pokokku.
Ketegangan semakin meningkat susulan duta Myanmar ke PBB dipecat ekoran kenyataan terbukanya mengecam junta tentera.
Dalam ucapan penuh emosi, Kyaw Moe Tun berkata tiada pihak yang harus bekerjasama dengan kerajaan junta sehingga kuasa dikembalikan kepada pemerintah yang dipilih secara demokratik.
#Aung San Suu Kyi #PBB #Myanmar #maut #tentera #tembakan
;