Tunjuk perasaan bertukar ganas di Wisconsin, dua terbunuh

Astro Awani
Ogos 27, 2020 09:08 MYT
Keganasan tercetus berdekatan sebuah kenderaan polis dalam satu insiden tunjuk perasaan yang diadakan susulan kejadian tembakan terhadap Jacob Blake di Kenosha, Wisconsin, 25 Ogos, 2020. REUTERS
DUA terkorban dan seorang lagi cedera susulan satu kejadian protes jalanan membantah insiden tembakan oleh polis terhadap seorang lelaki kulit hitam bertukar ganas pada lewat Selasa di Kenosha, Wisconsin.
Pergolakan tercetus di bandar raya Lake Michigan yang mempunyai 100,000 penduduk sejak Ahad, apabila polis menembak Jacob Blake, 29 tahun, di belakang, dari jarak dekat.
Insiden itu, yang dirakam menerusi video, mengakibatkan beberapa kejadian tunjuk perasaan menentang tindakan ganas dan perkauman polis Amerika Syarikat.
Tunjuk perasaan pada malam ketiga berturut-turut itu, pada mulanya bertukar tenang setelah polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang melanggar perintah berkurung.
Bagaimanapun, disebabkan masih ada yang berkumpul di jalanan, termasuk tentera bersenjata, keadaan menjadi tegang sebelum tengah malam, mengakibatkan kekacauan terjadi dan berlarutan sehingga awal pagi Rabu, dengan orang ramai berlari dan menjerit di tengah-tengah tembakan yang dilepaskan.
Dalam kejadian pada Ahad, selepas bergelut dengan polis, Blake berjaya melepaskan diri dan berjalan menuju ke keretanya apabila dia ditembak dari belakang ketika hendak membuka pintu kereta.
Tiga anaknya berada di dalam kenderaan ketika itu, menurut saksi.
Blake terkena empat daripada tujuh tembakan yang dilepaskan oleh polis, menyebabkan dia lumpuh, kata ahli keluarga dan peguamnya pada Selasa.
#Amerika Syarikat #cedera #ganas #gas pemedih mata #Jacob Blake #kematian #Kenosha #maut #perkauman #polis #protes #tembakan #video #Wisconsin
;