Tunjuk perasaan berpanjangan di Peru di sebalik darurat

Astro Awani
Januari 19, 2023 08:45 MYT
Penunjuk perasaan menuntut kerajaan adakan pilihan raya dengan segara serta peletakkan jawatan Dina Boluarte selain pembebasan Pedro Castillo. - Foto AP
LIMA: Penunjuk perasaan dari Peru kini berada di ibu kota Lima bagi mengadakan demonstrasi menentang Presiden Dina Boluarte dan menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya dengan segera.
Beribu-ribu penunjuk perasaan, kebanyakannya dari selatan negara itu berkumpul di Lima sejak beberapa hari lalu untuk menyertai protes yang bermula pada 7 Disember apabila bekas Presiden Pedro Castillo digulingkan dan ditahan selepas cuba membubarkan kongres dan memerintah melalui dekri.
Penunjuk perasaan turut memasang penghadang di lebuh raya utama bagi tujuan itu.
Terdapat lebih 100 jalan utama disekat, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Polis Peru pada Rabu bertindak mengalihkan penghadang yang dipasang penunjuk perasaan di beberapa jalan di Lebuhraya Pan-Amerika serta Lebuhraya Interoceanic di wilayah Amazon.
Kerajaan sebelum ini mengisytiharkan darurat selama 30 hari di beberapa wilayah, termasuk Lima dan memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi menjaga ketenteraman awam.
Boluarte berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan penunjuk perasaan apabila mereka tiba di Lima serta mendengar saranan yang dikemukakan kumpulan penunjuk perasaan.
Setakat ini, 50 maut sejak protes bermula pada Disember.
#tunjuk perasaan #darurat #Pedro Castillo #Dina Boluarte
;