Tunjuk perasaan anti-Uber di Indonesia bertukar ganas

AFP
Mac 22, 2016 13:34 MYT
Menurut jurucakap polis, dianggarkan lebih 5,000 orang mengambil bahagian dalam bantahan itu yang turut menjadi viral di media sosial. - Foto twitter.com / Rappler Indonesia
Ribuan pemandu teksi dan beca di Jakarta hari ini bertindak menghalang beberapa laluan utama di bandaraya itu sebagai membantah perkhidmatan teksi Uber, GrabCar dan Go-Jek yang didakwa menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka.
Sebahagian daripada mereka turut bertindak lebih liar dengan menyerang kenderaan sebelum berarak menuju ke Parlimen negara itu.
“Saya mahu kerajaan menghentikan perkhidmatan Uber, GrabCar, Go-Jek kerana mereka memusnahkan kehidupan kami,” kata Dudin Suhendri, 58, seorang pemandu teksi.
BACA: Dituduh menembak, pemandu Uber salahkan aplikasi
BACA: Uber bekerjasama dengan SPAD kawal selia aktiviti
BACA: Uber Malaysia sasar wujudkan 100,000 pekerjaan
Tunjuk perasaan diadakan hanya selepas beberapa minggu tercetusnya bantahan oleh operator pengangkutan awam seperti teksi dan bas terhadap aplikasi terbabit di bandar yang dihuni lebih 10 juta penduduk itu.
Antara aplikasi yang meningkat naik popularitinya adalah Uber, GrabCar, GrabBike dan Go-Jek.
Pemandu tradisi teksi, motosikal dan kenderaan awam yang lain marah kerana perkhidmatan itu menawarkan tambang lebih murah dan tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan.
Susulan tekanan yang memuncak, Menteri Pengangkutan republik itu sebelum ini telah mengarahkan pengharaman aplikasi terbabit pada Disember lalu, tetapi kemudiannya menarik balik pengharaman selepas mendapat kritikan hebat di sosial media.
Bagaimanapun kementerian komunikasi dan Presiden Joko Widodo dikatakan mempertahankan perkhidmatan terbabit.
Menurut jurucakap polis, dianggarkan lebih 5,000 orang mengambil bahagian dalam bantahan hari ini yang turut menjadi viral di media sosial.
#anti-Uber #Go-Jek #GrabCar #GranBike #Jakarta #Joko Widodo #Uber
;