Tunjuk perasaan 2013: 75 terima hukuman mati, 47 penjara seumur hidup

Astro Awani
September 9, 2018 14:31 MYT
Mahmoud Abu Zaid dilihat berada di dalam kurungan di sebuah mahkamah di Kahirah, Mesir, 8 Sept, 2018. (AP Photo/Roger Anis)
Mahkamah Tinggi Mesir pada Sabtu menjatuhkan hukuman mati ke atas 75 individu termasuk pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin.
Mereka didakwa terbabit dalam tunjuk perasaan menyokong presiden yang digulingkan pada 2013, Mohammed Morsi.
Kesemua mereka didapati bersalah selepas dituduh membunuh anggota polis dan merosakkan harta benda awam ketika tunjuk perasaan itu diadakan di Dataran Nahda.
Penghakiman ini membabitkan kesemua penyokong bekas presiden itu, yang digulingkan pihak tentera di bawah kepimpinan Presiden Abdel Fattah el-Sisi.
Pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, termasuk Mohammed Badie, adalah antara mereka yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bersama 46 lagi individu.
Sementara wartawan Mahmoud Abu Zaid, juga dikenali sebagai 'Shawkan', menerima hukuman lima tahun penjara.
Dia ditahan pada Ogos 2013, bermakna akan bebas dari tahanan beberapa hari lagi.
Perbicaraan yang dijalankan dan hukuman mati yang dijatuhkan menerima kritikan hebat dari kumpulan-kumpulan hak asasi di dalam dan luar negara, yang menganggap proses itu sebagai satu penghinaan terhadap keadilan.
Pada Sabtu, Amnesty International mengutuk hukuman itu dan menyifatkannya sebagai 'memalukan.'
#2013 #Abdel Fattah el-Sisi #Bekas Presiden #hukuman mati #Ikhwanul Muslimin #Kahirah #mahkamah #Mesir #Mohammed Badie #Mohammed Morsi #penjara #penjara seumur hidup #presiden #tunjuk perasaan
;