Tunjuk 'jari tengah' dihukum berhenti.. Balas dendam, menang undi!
Razak Chik
November 6, 2019 21:35 MYT
November 6, 2019 21:35 MYT
MANISNYA berpeluang balas dendam – mungkinkah itu reaksi peribadi Juli Briskman yang menang kerusi pilihan raya negeri sebagai ahli Lembaga Penyelia Daerah Loudoun County, Virginia.
Kemenangan Briskman adalah salah satu daripada beberapa kejayaan dicatat calon parti Demokrat dalam pilihan raya tempatan negeri di Amerika Syarikat pada Selasa, sebagai tanda protes dalam kalangan pengundi yang sudah bosan dengan gelagat Presiden Amerika ke-45 (POTUS) Donald Trump.
Briskman menang atas tiket Demokrat mengalahkan Suzanne Volpe dari Parti Republikan yang bertahan selama dua penggal.
Bekas eksekutif pemasaran itu dipecat dari jawatan dalam sebuah syarikat pembekal kepada kerajaan ekoran tindakan 'kurang sopan' menunjuk 'jari tengah' sewaktu menunggang basikal sambil konvoi Donald Trump berlalu memotong.
Insiden itu yang berlaku pada 2017 menjadi viral dan sedikit sebanyak memupuk populariti Briskman hingga terpilih mewakili daerah Algonkian yang mepunyai 400,000 penduduk.
Pilihan raya tempatan berjalan pada Selasa di tiga negeri – Virginia, Kentucky dan Mississippi.
Di Kentucky, yang dianggap kubu kuat konservatif, calon Demokrat Andy Beshear mengalahkan penyandang Matt Bevin dari Republikan. Oleh sebab pertandingan agak sengit, Bevin enggan mengaku kalah dan mungkin membuat rayuan.
Di Virginia pula, parti Demokrat mengambil alih penguasaan dewan perundangan dari Republikan buat pertama kali dalam masa 20 tahun.
Parti Republikan hanya mampu mengekalkan kerusi Gabenor di dewan perundangan Mississippi walaupun bertembung sengit dengan parti Demokrat.
Keputusan pilihan raya tempatan ini sedikit sebanyak memberi petanda arah tuju sokongan rakyat Amerika terhadap Donald Trump, yang berangan kekal sebagai Presiden Amerika untuk penggal kedua.
Pilihan raya untuk memilih POTUS ke-46 akan diadakan pada bulan November tahun 2020.