Tunisia, Syria buka semula kedutaan selepas 11 tahun

Bernama
April 13, 2023 05:44 MYT
Kementerian Luar Tunisia berkata, Syria memberikan persetujuan terhadap pelantikan Duta Tunisia hasil inisiatif Presiden Kais Saied (gambar). - Gambar/ Reuters
TUNIS: Tunisia dan Syria memutuskan untuk membuka semula kedutaan masing-masing bagi menyambung semula hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar Tunisia pada Rabu.
"Susulan inisiatif yang dilaksanakan oleh Presiden Kais Saied untuk melantik duta Tunisia ke Syria, pihak Syria memberikan persetujuan terhadap pelantikan ini.
"Pihak Syria juga memutuskan untuk membuka semula kedutaannya di Tunis, dan melantik duta dengan kadar segera," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menteri luar kedua-dua negara akan meneruskan rundingan dan penyelarasan bagi memulihkan hubungan Tunisia-Syria, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak akan berusaha untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan demi menyatukan Tunisia dan Syria, dan mempertahankan nilai-nilai perpaduan.
Tunisia memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Syria pada Februari 2012 selepas perang saudara Syria meletus.
-- BERNAMA
#Syria #Tunisia #pulih hubungan diplomatik #pembukaan kedutaan