Tunggu dan lihat sama ada Taliban benar-benar berubah - Ahmad El-Muhammady

Israr Khalid
September 1, 2021 22:30 MYT
Presiden Ashraf Ghani sebelum ini berkata, kumpulan Taliban yang telah memasuki Istana Presiden di Kabul mempunyai tanggungjawab yang besar. - Gambar fail AP
KUALA LUMPUR: Taliban perlu diberi masa untuk membuktikan sama ada benar mereka sudah berubah sepertimana yang dinyatakan apabila mereka menguasai semula Kabul pada 15 Ogos tempoh hari.
Mereka perlu berusaha keras menghapuskan stigma menebal dunia yang sekian lama memandang kumpulan itu sebagai entiti keganasan dan ekstremis, kata Penolong Profesor ISTAC-IIUM Dr Ahmad El-Muhammady.
“Saya akui bahawa dunia masih dalam kesukaran untuk menerima (Taliban) dan menolak stigma-stigma yang berlaku, yang pernah mereka dapat dan lihat sebelum ini, dan ini merupakan satu cabaran kepada Taliban.
“Ini kerana, menjalinkan hubungan di peringkat antarabangsa dengan negara-negara lain, terutamanya jiran mereka, adalah satu keutamaan,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Taliban mengatakan mereka sudah belajar daripada kesilapan lalu, antaranya membuat kenyataan akan membenarkan kaum wanita mendapat pendidikan dan bekerja, tidak seperti zaman pra-Amerika 20 tahun yang lepas.
BACA: 'New Taliban' di Afghanistan, apa reaksi antarabangsa?
BACA: Malaysia harus bersiap iktiraf kerajaan Taliban
Begitupun, dunia tetap berwaspada termasuk Malaysia yang perlu tunggu dan lihat sejauh mana kata-kata itu dapat diterjemahkan dengan tindakan dalam fasa baharu pentadbiran mereka di Afghanistan.
“Satu lagi cabaran untuk Taliban adalah mewujudkan keamanan, kerana di dalam Afghanistan itu sendiri masih ada Al-Qaeda walaupun belum lagi ‘bersuara’.
“ISIS pula sudah mula menunjukkan belang apabila melancarkan serangan berani mati di lapangan terbang baru-baru ini,” tambah Ahmad.
BACA: Taliban kuasai sepenuhnya lapangan terbang di Kabul
BACA: Presiden Afghanistan tinggalkan negara untuk elak pertumpahan darah
Taliban menyatakan bahawa mereka boleh menguruskan hal ini.
Andai Soviet, British, Amerika dan NATO dapat diusir, ISIS, kata mereka, boleh ditangani dengan cepat.
Namun Ahmad melihat kenyataan Taliban itu sebagai keterlaluan, maka ruang harus diberi untuk mereka mengotakan apa yang dikata, sebelum Malaysia dapat mengiktiraf kedudukan mereka.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu. Tonton di sini:
Tunggu dan lihat sama ada Taliban benar-benar berubah - Dr. Ahmad El-Muhammady
Agenda AWANI: Garap prinsip keterbukaan, Taliban berubah?
#Agenda Awani #Taliban #Dr Ahmad El-Muhammady #Afghanistan