Tuna sirip biru muncul kembali di pesisiran California selepas 80 tahun

Agensi
Oktober 17, 2018 07:00 MYT
Peningkatan selera dunia terhadap sushi, menjadi antara sebab kemerosotan bilangan spesies itu sejak beberapa dekad lalu. - REUTERS
Ikan tuna sirip biru Pasifik bersaiz besar yang sudah berdekad lamanya tidak kelihatan di perairan California, Amerika Syarikat (AS), kini kembali.
Perkembangan positif itu menarik perhatian para pemancing dan saintis, lapor Reuters.
Pada masa yang sama, ia menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan global selama ini terbukti berhasil, bagi menentukan nasib salah satu daripada spesies marin yang paling mahal dan diburu ramai.
Aktiviti melampau penangkapan tuna sirip biru yang tercetus daripada selera dunia terhadap sushi, menjadi antara sebab kemerosotan bilangan spesies itu sejak beberapa dekad lalu.
Namun begitu, langkah oleh AS, Jepun, Mexico dan beberapa negara lain untuk mengehadkan pengambilan masing-masing telah membantu pertambahan populasi, walaupun secara keseluruhannya populasi tuna masih di bawah paras ‘normal’.
Pengarah Pusat Sains Perikanan di La Jolla, California, Gerard DiNardo, berkata terdapat peningkatan populasi serta saiz tuna sirip biru hasil dari usaha tersebut.
"Pengurusan berkesan ini nampaknya membuahkan hasil,” ujar DiNardo.
Catatan suhu yang terbaik di San Diego pada musim panas ini dan pemanasan laut di perairan California secara tidak langsung menawarkan kawasan makanan yang sesuai untuk spesies itu.
Di pasaran, tuna sirip biru boleh dijual pada harga ratusan hingga ribuan dolar AS.
Pada awal Januari, seekor tuna tersebut yang seberat 403.7 kilogram berjaya dijual pada harga AS$323,000 di pasar ikan Tsukiji di Tokyo.
#Amerika Syarikat #California #ikan tuna #Marin #pasaran #perikanan #spesies terancam #sushi #tuna sirip biru
;