Tun Mahathir doakan Jokowi dipilih sebagai presiden baharu Indonesia
Bernama
April 14, 2014 22:50 MYT
April 14, 2014 22:50 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendoakan calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Joko Widodo atau Jokowi, dipilih sebagai presiden baharu Indonesia pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai ini.
"Saya doakan Bapak Jokowi menjadi presiden berikutnya," kata Dr Mahathir ringkas kepada Jokowi sebelum meninggalkan kediaman Ketua Umum PDI-P, Megawati Soekarnoputri di sini, Isnin.
Diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir itu, Jokowi yang juga Gabenor Jakarta dan calon paling popular dalam kalangan bakal calon presiden dari parti lain, hanya tersenyum sambil berkata: "Amin...".
Sebelum ini, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang akan menamatkan pentadbirannya pada Oktober ini, secara terbuka menyokong Jokowi sebagai penggantinya.
Pada Pemilu parlimen 9 April lepas, PDI-P berada pada kedudukan teratas menerusi kiraan awal yang dilakukan oleh pelbagai badan kaji selidik.
Mengenai pertemuannya dengan Megawati, Dr Mahathir berkata kunjungannya ke atas presiden kelima Indonesia itu sebagai pertemuan 'dua sahabat lama' terutama kedua-dua mereka saling bertemu dalam dialog dan acara melibatkan Asean.
"Saya amat gembira melihat Ibu Megawati sihat dan saya harap persahabatan juga dicerminkan oleh kedua-dua negara, Indonesia dan Malaysia," katanya.
Turut hadir pada pertemuan dengan Megawati ialah Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Jokowi dan anak perempuan Megawati, Puan Maharani yang juga pemimpin kanan PDI-P.
Terdahulu, bercakap kepada pemberita sebelum menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Malaysia-Indonesia: Dulu, Kini dan Selamanya", Dr Mahathir berkata beliau akan bersahabat dengan sesiapapun yang dipilih sebagai presiden baharu Indonesia.
Justeru, beliau berharap presiden baharu Indonesia itu dapat memperbaiki lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia walaupun sebelum ini timbul 'masalah kecil' antara kedua-dua negara berjiran itu.
Sebagai negara tetangga yang amat rapat dengan Malaysia kerana mempunyai banyak persamaan termasuk dari segi budaya dan agama, Dr Mahathir berkata beliau menyokong sesiapa sahaja yang menjadi presiden baharu republik itu demi kebaikan kedua-dua negara.
"Hubungan Indonesia dengan Malaysia selama ini sudah berjalan dengan baik. Saya berharap presiden baharu Indonesia dapat meneruskan kerjasama yang sudah terjalin dan menyelesaikan persoalan yang ada.
"Saya bersahabat dengan semua orang termasuk press (wartawan). Siapa juga yang menjadi presiden (baharu Indonesia) akan menjadi sahabat, kalau dia terima persahabatan saya," katanya.
Tanpa menjelaskan mengenai 'masalah kecil' yang timbul antara kedua-dua negara berkenaan, Dr Mahathir menekankan hubungan baik Indonesia-Malaysia bukan hanya penting bagi kedua-dua negara, malah bagi kestabilan rantau Asia Tenggara.
"Hubungan yang baik antara negara jiran ini tidak hanya membawa keuntungan bagi Indonesia dan Malaysia namun juga sangat penting bagi Asia Tenggara," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir kagum dengan proses pilihan raya umum di Indonesia yang berlangsung dalam keadaan aman kerana bukan mudah melaksanakan proses itu dengan penduduk lebih 250 juta.
Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berada di sini sempena lawatan kerja dua hari ke Jakarta.