Tun Mahathir bertemu pemimpin atasan Nasdem di Jakarta

Agensi
Jun 17, 2022 15:01 MYT
Mahathir diundang sebagai panel undangan kehormat pada hari terakhir perhimpunan parti yang dipanggil Rapat Kerja Nasional. - Kompas.com
JAKARTA: Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada Jumaat dilapor mengadakan pertemuan dengan pemimpin atasan Parti Nasional Demokrat (Nasdem) Indonesia.
Portal berita Kompas.com melaporkan, ketibaan beliau di Nasdem Tower di daerah Menteng, Jakarta pada jam 11.37 pagi waktu tempatan, disambut Ketua Umum Parti Nasdem, Surya Paloh.
Dalam pertemuan itu, beberapa pemimpin atasan Nasdem turut hadir, antaranya Wakil Ketua Umum Ahmad Ali, Bendahara Umum Ahmad Sahroni, dan Ketua Setiausaha Johnny G Plate.
Dua menteri Kabinet Indonesia Maju dari parti tersebut iaitu Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan, Siti Nurbaya; dan Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo juga menyambut kunjungan berkenaan.
“Beliau hadir untuk menjadi panel di Jakarta Convention Center (JCC) pukul 2.30 petang nanti,” kata Sahroni, memetik laporan Kompas.com.
Difahamkan, Mahathir dijemput sebagai undangan kehormat pada hari terakhir perhimpunan parti atau Rapat Kerja Nasional.
BACA: Tun M akan berucap di perhimpunan parti politik Indonesia
Beliau dibawa ke majlis makan tengah hari terlebih dahulu bersama para pemimpin Nasdem sebelum bertolak ke Senayan.
Terdahulu, menerusi keterangan bertulis, Mahathir mengucapkan terima kasih pada Surya atas undangan tersebut, manakala Ahmad Ali menyifatkan kedatangan Mahathir itu dalam rangka mengeratkan hubungan silaturahim.
“Beliau datang sebagai sahabat Pak Surya Paloh,” katanya.
Perhimpunan Nasdem berlangsung sejak Rabu lalu dengan antara agenda yang dibahaskan adalah mendengar input daripada Dewan Pimpinan Wilayah berhubung calon presiden.
Dalam pencalonan itu, dua tokoh yang paling banyak diusulkan ialah Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo.
#Mahathir Mohamad #nasdem #Jakarta #Surya Paloh
;