Tumpahan minyak 600 gelen ancam spesies unik di kepulauan Galapagos

Agensi
Disember 24, 2019 09:35 MYT
Spesies kura-kura raksasa ini antara haiwan yang diancam pencemaran akibat tumpahan minyak di Kepulauan Galapagos. -AP
PIHAK berkuasa di Kepulauan Galapagos sedang berusaha membendung tumpahan minyak kira-kira 600 gelen selepas sebuah kapal kargo tenggelam.
Dalam kejadian pada Ahad, sebuah kren dilaporkan runtuh dan menimpa kapal berkenaan semasa operasi memuat naik barang dijalankan.
Perkhidmatan Keselamatan Bersepadu Ecuador berkata kru kapal itu bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, lapor media tempatan.
Menurut kenyataan Taman Negara Galapagos, anggota tentera dan petugas alam sekitar telah meletakkan halangan dan kain penyerap bagi mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar.
Pengawal pantai dalam pada itu mengumumkan bahawa pelan kecemasan telah diaktifkan bagi mengawal tumpahan minyak.
Insiden tumpahan minyak berlaku di Pulau San Cristóbal yang merupakan bahagian paling timur beberapa pulau yang membentuk kepulauan Galapagos.
Ia merupakan habitat untuk singa laut, kura-kura raksasa dan burung hantu, serta jalur pantai yang indah.
Seperti kebanyakan pulau di kepulauan ini, pengunjung perlu mematuhi peraturan yang ketat untuk melindungi flora dan fauna.
Kepulauan Galapagos yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco, adalah sebahagian daripada Ecuador.
Beberapa ekosistem yang paling terancam boleh ditemui di situ selain banyak spesies yang tidak dapat dijumpai di tempat lain.
Terdapat lebih daripada 500 spesies tumbuhan terdapat di Galapagos, kira-kira satu pertiga daripadanya adalah endemik.
#Ecuador #Galapagos #kapal kargo #minyak #tenggelam #tumpahan
;