Tukar jantina untuk atasi tekanan

Madiha Abdullah
April 23, 2015 10:59 MYT
Wallace kini mengambil ubat hormon dan dijangka menjalani pembedahan hujung tahun ini. - Foto Facebook
Gara-gara tidak mahu terus terasing daripada anaknya, seorang bapa di United Kingdom bertindak di luar dugaan dengan menukar imej dan jantinanya menjadi perempuan.
Roxy Wallace, 50 tahun, sudah lama menderita akibat tekanan luar biasa yang menyebabkan dia menjauhkan diri daripada keluarga termasuk anak tunggalnya, William, 9 tahun.
Sejak zaman mudanya, Wallace gemar memakai pakaian wanita dan menganggap ia membantu mengatasi tekanan yang dihadapinya.
Namun tabiat itu dihentikan selepas bertemu dan mengahwini isterinya, Jo, pada tahun 1995. Ia bagaimanapun menjadikan tekanan yang dihadapi semakin teruk.
Wallace (kiri) bersama anaknya William dan isterinya, Jo. - Foto Facebook
Wallace akhirnya berterus-terang dengan isterinya tentang tabiat peliknya itu dan nyata, Jo dapat menerima situasi itu dengan baik.
Wallace yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, memberitahu Jo yang dia mahu hidup sebagai wanita dan ia mendapat sokongan daripada isterinya.
"Sudah 20 tahun saya mencintainya, dan saya cuma mahu dia bahagia," kata Jo.
Keputusan itu bukan sahaja memberi kepuasan dan ketenangan kepada Wallace tetapi dia juga berjaya memperbaiki hubungan dengan anaknya, yang merupakan seorang kanak-kanak autistik.
"Saya sayang 'ibu kedua' saya," kata William.
Wallace kini mengambil ubat hormon dan dijangka menjalani pembedahan hujung tahun ini.
#Roxy Wallace #transgender
;