Tukang masak peribadi Barack Obama ditemukan lemas

Agensi
Julai 25, 2023 12:24 MYT
Polis memaklumkan mayat Campbell (foto) dijumpai kira-kira 30 meter dari pantai dan 2.4 meter di bawah permukaan air. -AP
MASSACHUSETTS: Cef peribadi bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ditemui mati di sebuah tasik di dalam komuniti resort Martha's Vineyard.
Polis daerah Massachusetts mengesahkan bahawa pendayung yang dilihat mengalami masalah di tasik Edgartown Great merupakan cef peribadi Obama, Tafari Campbell.
Mangsa yang berusia 45 tahun bekerja di White House sebelum menyambung perkhidmatan bersama keluarga Obama selepas Presiden ke-44 itu meninggalkan Oval Office pada 2016.
“Dia kreatif dan bersemangat tentang makanan, dan keupayaannya untuk menyatukan orang ramai.
"Pada tahun berikutnya, kami mengenalinya sebagai seorang yang tenang, menyeronokkan, luar biasa baiknya yang menjadikan kehidupan kami lebih indah,” kata Obama dalam satu kenyataan.
Tambah Obama, keluarganya amat sedih dengan pemergian Campbell yang sudah dianggap seperti sebahagian anggota keluarganya.
Mendiang Campbell meninggalkan seorang isteri, Sherise dan sepasang anak kembar.
Pihak polis memaklumkan mayat Campbell dikesan tidak memakai jaket keselamatan, kira-kira 30 meter dari pantai dan 2.4 meter di bawah permukaan air menggunakan sonar.
#Barack Obama #mati lemas #Tafari Campbell #Martha's Vineyard
;