Tukang masak pecah rekod dunia, main 'game' 60 jam

Sinar Harian
Februari 10, 2024 08:45 MYT
Barnabas Vujity-Zsolnay, memegang rekod permainan video terpanjang dalam genre Massively Multiplayer Online Role-Playing Game - Foto agensi
BUDAPEST: Seorang tukang masak dari Hungary berjaya mencipta rekod dunia baharu apabila bermain permainan dalam talian hampir 60 jam.
Barnabas Vujity-Zsolnay, memegang rekod permainan video terpanjang dalam genre Massively Multiplayer Online Role-Playing Game (MMOPRG) atau bermain secara beramai-ramai untuk tempoh 59 jam 20 minit dalam game World of Warcraft.
Tempoh permainan bersamaan dua hari setengah itu telah dilakukan secara langsung bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada sebuah badan amal di Hungary.
Pencapaian itu telah menambah satu lagi rekod terbaik Barnabas dalam Guinness World Record (GWR) dalam kategori MMORPG dan World of Warcraf untuk tempoh terpanjang di dunia.
Semasa melakukan cabaran itu, Barnabas diberi masa lima minit untuk berehat selepas setiap jam bermain permainan itu.
Pada waktu itu dia boleh makan, tidur sekejap atau menggunakan bilik mandi.
Menurut GWR, World of Warcraft sama seperti MMORPG lain iaitu membenarkan pemain mencipta satu watak dan meneroka dunia maya di mana mereka boleh bertarung dengan raksasa serta melengkapkan pencarian dengan pemain lain.
Dalam permainan itu, Barnabas menyelesaikan permainannya dengan membersihkan penjara bawah tanah serta bertarung dengan pemain lain di arena yang ditetapkan.
Bagaimanapun selepas 30 jam, Barnabas berkata, dia mula bosan kerana tidak tahu apa perlu dilakukan dan kemudian tempoh 45 jam dia mula 'berhalusinasi'.
"Saya perasan halusinasi ringan mula menjelma.
"Ia sangat lucu tetapi lama-lama kelamaan ia menjadi sukar untuk menumpukan perhatian semasa penstriman langsung," katanya sambil menambah bahawa dia minum 15 liter air sepanjang tempoh itu. - Sinar Harian memetik agensi
#permainan dalam talian #pecah rekod #MMOPRG #Guinness World Record
;