Tujuh wilayah selatan Thai dalam keadaan berjaga-jaga ekoran hujan lebat

Bernama
Disember 2, 2016 07:30 MYT
Di Narathiwat, 30 keluarga di mukim Khokkian dan Muang terpaksa dipindahkan ke tempat selamat selepas hujan lebat selama dua hari menenggelamkan rumah mereka. - Gambar fail
Tujuh wilayah selatan Thai diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas banjir kilat melanda beberapa kawasan ekoran hujan lebat selama dua hari berturut-turut.
Tujuh wilayah terlibat adalah Surathani, Nakorn Sri Thammarat, Pattalung, Songkla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
"Tujuh sekolah terpaksa ditutup, manakala 30,000 orang daripada 12,000 keluarga terjejas akibat banjir kilat serta ombak besar yang melanda kawasan pesisir pantai," kata Ketua Daerah Julaporn Paiboon Nakatipimann pada Jumaat.
Beliau berkata ombak besar yang melanda daerah Pakpanan memusnahkan jalan menghubungkan daerah berkenaan dengan Hua Sai menyebabkan penduduk kedua-dua kawasan terputus hubungan.
Di Narathiwat, 30 keluarga di mukim Khokkian dan Muang terpaksa dipindahkan ke tempat selamat selepas hujan lebat selama dua hari menenggelamkan rumah mereka.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran terhadap penduduk yang tinggal di tepi Sungai Golok supaya bersedia untuk dipindahkan berikutan paras air sungai meningkat berikutan hujan lebat. - BERNAMA
#banjir kilat #nakom sri thammarat #Pattalung #Pattani #Songkla #surathani #yala
;