Tujuh terbunuh, 12 cedera kebakaran hotel di Korea Selatan

Bernama
Ogos 23, 2024 18:00 MYT
Hotel itu mempunyai 64 bilik dan dianggarkan mempunyai 27 tetamu di bangunan itu ketika kebakaran berlaku. - Gambar/ Reuters
BUCHEON (Korea Selatan): Tujuh orang terbunuh dan 12 yang lain cedera berikutan kebakaran di sebuah hotel di Bucheon, di barat Seoul, pada Khamis, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak bomba.
Kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat lapan hotel sembilan tingkat itu pada 7.39 malam, menyebabkan tujuh orang maut, termasuk tetamu, menurut pihak berkuasa.
Mereka yang cedera sedang menjalani rawatan di hospital tempatan. Tiga daripada mereka mengalami kecederaan serius tetapi tidak kritikal.
Beberapa orang maut setelah terjun dari tingkap ke atas tilam angin manakala seorang wanita mengalami serangan jantung di tangga hotel dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital.
"Sebahagian daripada mangsa yang maut ditemukan di tangga dan di lorong hotel," kata seorang pegawai kesihatan awam Bucheon kepada pemberita.
Anggota bomba memadamkan sebahagian besar kebakaran pada 10.14 malam. Api tidak merebak di dalam bangunan tetapi menghasilkan asap yang menyebabkan sejumlah besar korban jiwa, menurut pihak berkuasa. Hotel itu mempunyai 64 bilik dan dianggarkan mempunyai 27 tetamu di bangunan itu ketika kebakaran berlaku.
Pihak berkuasa bomba menghantar 70 kenderaan dan kira-kira 160 anggota bomba ke tempat kejadian.
"Kerja menyelamat diteruskan di bilik hotel," kata seorang pegawai polis. "Hanya selepas api dipadamkan sepenuhnya dan pencarian di dalam bangunan selesai, baru kami dapat menentukan skala sebenar mangsa."
Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min, menggesa usaha semua pihak oleh pihak berkuasa bomba dan kerajaan tempatan untuk memadamkan api dan menyelamatkan orang menggunakan semua kakitangan dan peralatan yang ada.
-- BERNAMA
#kebakaran hotel #Korea #Bucheon #angka korban