Tujuh tahun jalani hukuman di penjara Israel, Israa Jaabis akhirnya bebas
Astro Awani
November 26, 2023 11:30 MYT
November 26, 2023 11:30 MYT
BAITULMAQDIS: Tahanan Palestin Israa Jaabis tiba di rumahnya di Baitulmaqdis Timur selepas dia dibebaskan setelah 7 tahun menjalani hukuman di penjara Israel.
Menurut Pusat Maklumat Wadi Hilweh yang berpangkalan di Baitulmaqdis, sebelum dibebaskan, polis Israel mengenakan beberapa syarat terhadapnya, termasuk wartawan tidak dibenarkan mengadakan liputan pada saat pembebasannya.
Selain itu, pembebasannya juga dilarang untuk diraikan.
Jaabis menghabiskan tujuh tahun di penjara Israel dari jumlah hukuman 11 tahun.
Pada 11 Oktober 2015, Jaabis, ketika itu berusia 31 tahun, dalam perjalanan ke rumahnya di Baitulmaqdis, apabila silinder gas di dalam keretanya meletup dan menyebabkan keretanya terbakar.
Kejadian itu menyebabkan Jaabis melecur tahap ketiga yang melibatkan 60 peratus anggota badannya termasuk muka dan tangannya.
Susulan itu, pihak berkuasa Israel menuduh Jaabis mahu melakukan serangan "keganasan", satu pertuduhan yang dinafikannya.
Jaabis berada dalam senarai 39 wanita dan kanak-kanak Palestin yang dijadualkan dibebaskan dari penjara Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan dengan kumpulan penentang Palestin, Hamas.
Di bawah perjanjian itu, tebusan dan banduan akan dibebaskan secara berkelompok dalam tempoh empat hari.
Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober.
Serangan itu telah membunuh sekurang-kurangnya 14,854 rakyat Palestin, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita.