Tujuh pendaki Gunung Annapurna hilang dalam kejadian salji runtuh

Astro Awani
Januari 18, 2020 05:41 MYT
Pendaki menyaksikan matahari terbit di atas Gunung Annapurna, di Nepal tengah, dilihat dari Bukit Poon, berdekatan kampung Ghorepani, pada Oktober 2014. (Foto AP/Fail)
Sekurang-kurangnya empat pendaki warga Korea Selatan dan tiga pemandu pelancong warga Nepal dilaporkan hilang dalam kejadian salji runtuh di kawasan pergunungan popular di Nepal pada Jumaat.
Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, kejadian salji runtuh yang berlaku di Annapurna itu adalah pada ketinggian 3,230 meter dari permukaan laut.
Sementara itu, lima pendaki Korea Selatan yang bersama mangsa, dilaporkan selamat.
Mangsa yang hilang adalah dua wanita berusia antara 30 dan 50-an serta dua lelaki berusia 50-an.
Kesemua mereka adalah guru yang bertugas secara sukarela di Nepal.
Laporan awal menyatakan, kesemua mangsa dalam perjalanan turun dari Deurali ke Dovan semasa salji runtuh itu berlaku.
Operasi menyelamat bertambah sukar apabila keadaan cuaca dilaporkan buruk.
Seorang pemandu pelancong dari syarikat Janbogo Tour Nepal, Sandesh Pandy berkata, disebabkan hujan berterusan selama dua hari berturut-turut di rantau Annapurna, mereka tidak dapat mendaki sehingga tapak kem.
"Mereka dalam perjalanan pulang dari Deurali ke Dovan pada Jumaat petang apabila salji runtuh terjadi. Itu yang dimaklumkan oleh salah seorang pemandu pelancong.
"Ahli yang lain dalam kumpulan itu melalui jalan yang sama hanya beberapa detik sebelum itu. Mereka berjaya menyeberang, tetapi empat warga Korea Selatan dan dua warga Nepal itu tersangkut," katanya.
#Annapurna #hilang #Korea Selatan #Nepal #operasi #pelancong #pemandu pelancong #pendaki #salji runtuh
;