Tujuh pemimpin ASEAN boikot Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat
Najib Aroff
November 4, 2019 20:57 MYT
November 4, 2019 20:57 MYT
Majoriti pemimpin negara anggota ASEAN tidak menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat selepas Donald Trump tidak menghadiri sidang itu untuk tahun kedua.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada awal dijadual menghadiri sidang tersebut, turut menukar jadual dan tidak menyertainya.
Sidang Kemuncak itu hanya dihadiri pemimpin tertinggi Thailand, Laos dan Vietnam.
Amerika Syarikat hanya diwakili Penasihat Keselamatan Negara Robert O’Brien sekali gus menjadikan ia perwakilan paling sedikit dalam sejarah.
O’Brien ketika Sidang Kemuncak itu membacakan ucapan Trump dan menyatakan negara itu harus mempertahankan hubungan dengan ASEAN dalam apa jua keadaan.
Trump juga turut menjemput pemimpin ASEAN untuk menghadiri satu sidang khas yang akan dianjurkan AS awal tahun hadapan.
AS pada Sidang Kemuncak ASEAN ke 34 di Singapura menwakilkan Timbalan Presiden Mike Pence.
Berdasarkan video yang dipaparkan di pusat media, hanya tujuh menteri luar mewakili pemimpin mereka.
Menurut laporan Bangkok Post, AS menyuarakan kegusaran terhadap diplomat ASEAN tentang boikot yang dilakukan pemimpin ASEAN.
Untuk rekod, kesemua negara ASEAN dan enam negara lain diwakili pemimpin tertinggi termasuk China diwakili Perdana Menteri Li Keqiang.
#asean-amerika syarikat
#boikot sidang kemuncak
#Donald Trump
#laos
#Mahathir Mohamad
#pemimpin asean
#Robert O Brien
#Vietnam