Tujuh mangsa feri terbalik ditemui di Lautan Pasifik
Agensi
Januari 28, 2018 16:30 MYT
Januari 28, 2018 16:30 MYT
TENTERA New Zealand menemui tujuh mangsa termasuk seorang bayi yang tidak sedarkan diri dalam sebuah perahu yang sedang berlayar di Lautan Pasifik pada Ahad.
Perahu itu dilaporkan sedang membawa mangsa yang terselamat dari kejadian feri terbalik empat hari lalu.
Komodor Kapal Angkatan Pertahanan Udara New Zealand, Darryn Web berkata pesawat tentera Orion telah menemui perahu itu dan menyalurkan bekalan makanan dan minuman termasuk radio kepada mangsa.
Susulan kejadian, sebuah kapal penangkap ikan telah digerakkan ke lokasi dan dijangka akan mengambil masa sehingga petang Ahad untuk menyelamatkan mangsa.
Sebelum ini, Kapal feri MV Butiraoi yang meninggalkan Pulau Nonuti pada 18 Januari lalu dilaporkan menuju ke Tarawa Selatan.
Pegawai Pencarian dan Penyelamat Kanan, John Ashby berkata feri yang membawa 50 penumpang itu dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.