Tujuh individu ditahan di Pulau Sumatera berhubung jerebu di Asia Tenggara
AFP
September 17, 2015 14:57 MYT
September 17, 2015 14:57 MYT
Polis Indonesia menahan tujuh individu dari syarikat-syarikat yang didakwa ada kaitan dengan pembakaran haram hutan di Republik itu dan mengakibatkan asap tebal menyelaputi negara-negara di Asia Tenggara.
Penahanan mereka di Pulau Sumatera pada Rabu di atas sebab jerebu berlaku saban tahun itu adalah satu tindakan yang jarang diambil polis di negara itu.
Menurut Ketua Polis Negara Badrodin Haiti, pihak berkuasa dan pesawat-pesawat pengebom air dihantar untuk menangani kebakaran di Pulau Sumatera.
Selain tujuh ditahan, 133 orang telah dinamakan sebagai suspek, kata Haiti.
Ini adalah satu langkah undang-undang Indonesia memberi kuasa kepada penyiasat yang mempunyai bukti kukuh untuk mempertimbangkan pemfailan kes terhadap seseorang.
Katanya lagi, sebahagian daripada mereka yang ditahan adalah mereka yang berpangkat eksekutif, namun pihaknya tidak memberikan butiran tentang pekerja-pekerja tersebut dan majikan mereka.
Mereka yang ditahan boleh dihukum 15 tahun penjara dan dikenakan denda berat jika didapati bersalah memulakan pembakaran hutan dan semak secara haram.
Keadaan jerebu tebal itu telah mengakibatkan lebih 10,000 warga Indonesia dari beberapa bahagian negara itu dilaporkan jatuh sakit kerana kualiti udara yang amat tidak sihat.
Presiden Joko Widodo berjanji akan pada minggu ini akan mengambil tindakan ke atas syarikat dan individu yang bertanggungjawab.
"Arahan presiden sudah jelas - penguatkuasaan undang-undang perlu tegas supaya ini tidak akan berlaku lagi tahun depan," kata Haiti kepada AFP selepas mengumumkan penahanan itu pada Rabu.
Jokowi turut memberi jaminan akan mengambil tindakan ke atas syarikat dan individu yang bertanggungjawab pada minggu ini.
Kerajan juga telah menggerakkan beratus-ratus polis tambahan dan penyiasat ke kawasan-kawasan yang dilanda jerebu untuk memantau mereka yang terlibat.
Indonesia kini di bawah tekanan apabila negara-negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura menggesa agar wabak jerebu dihentikan serta-merta.