Tujuh cedera dalam letupan bom di Mogadishu

Isabelle Leong
Julai 2, 2018 07:12 MYT
Seorang anggota polis Somalia berdiri di tempat kejadian letupan di persimpangan Benadir di Mogadishu, Somalia 2 Julai 2018. REUTERS / Feisal Omar
Tujuh pejalan kaki cedera dalam kejadian letupan bom tepi jalan di ibu kota Somalia pada Isnin.
Menurut pegawai polis, Mejar Abdullahi Hussein, bom tersebut diletakkan di persimpangan Benadir, Mogadishu.
“Bom itu mencederakan tujuh pejalan kaki. Tiada kenderaan yang terlibat dalam insiden tersebut,” katanya.
Pengarah Ambulans Amin, Abdikadir Abdirahman berkata mangsa yang terlibat dibawa ke hospital dan setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut.
Namun begitu, kumpulan militan rangkaian al-Qaeda di Somalia, al-Shabaab diketahui kerap melancarkan serangan bom dalam usaha mereka menggulingkan kerajaan Somalia.
Negara tersebut dilanda keganasan sejak penggulingan diktator Mohamed Siad Baree pada awal 1990-an.


#Al Shabaab #Al-Qaeda #Benadir #bom #cedera #diktator #jalan #kerajaan #letupan #militan #Mogadishu #Mohamed Siad Baree #penggulingan #persimpangan #polis #Somalia
;