Kementerian Luar Indonesia hari ini mengesahkan tujuh rakyatnya yang merupakan anak kapal Charles 001 telah diculik kumpulan bersenjata di selatan Filipina, tiga hari lepas.

Sambil mengecam kejadian itu yang berlaku di perairan Laut Sulu, Menteri Luar Retno Marsudi menggesa kerajaan Filipina supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan di kawasan perairan berkenaan.

"Pada 23 Jun 2016, kami dapat konfirmasi (pengesahan) telah terjadi penyanderaan (penculikan) anak kapal Charles 001 Ting dan tongkang Roby 152," katanya dalam kenyataan media yang disiarkan televisyen tempatan.

Retno berkata ketika kejadian, terdapat 13 anak kapal rakyat Indonesia di dalam kapal itu.

Namun, kumpulan bersenjata itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf, membebaskan enam daripada anak kapal itu dan menculik tujuh yang lain, katanya.

Kejadian penculikan itu adalah yang ketiga berlaku tahun ini. Kapal Charles 001 adalah sebuah kapal penunda arang batu yang sedang menuju ke Filipina.

Sementara itu, Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan Luhut Pandjaitan dalam kenyataannya berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa kumpulan bersenjata yang melakukan penculikan itu telah meminta wang tebusan.

Bagaimanapun, katanya jumlah wang tebusan itu belum diputuskan pihak penjenayah terbabit.

Beliau berkata anak kapal Charles yang dibebaskan memberitahu terdapat dua kumpulan bersenjata Filipina yang menculik tujuh rakan mereka.

Pihak berkuasa Indonesia juga membuka Pusat Krisis untuk berkomunikasi dengan kumpulan terbabit dalam usaha menyelamat dan membebaskan anak-anak kapal berkenaan.