Tuduhan tidak berasas, WHO nafi dibeli China

Agensi
Julai 24, 2020 10:09 MYT
Tedros selepas satu sidang media anjuran Geneva Association of United Nations Correspondents di tengah penularan COVID-19, di ibu pejabat WHO, Geneva, Switzerland, 3 Julai, 2020. REUTERS
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia WHO menyifatkan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo bahawa badan dunia itu 'dibeli' oleh China adalah tidak benar.
Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, pihaknya tidak akan melayan tuduhan sedemikian.
“Kenyataan yang dibuat Selasa lalu adalah tidak benar dan tidak boleh diterima, serta tidak mempunyai asas yang kukuh,” kata Tedros.
“Fokus utama kami dan organisasi kami, adalah untuk menyelamatkan nyawa. Tiada yang lebih penting daripada perkara ini kepada kami dan kepada komuniti antarabangsa.
“WHO tidak akan terganggu dengan komen-komen sebegini.”
Badan dunia itu menjadi sasaran kecaman Amerika sejak pandemik COVID-19.
Pentadbiran Presiden Donald Trump berulang kali mengkritik WHO kerana didakwa berat sebelah terhadap China ketika peringkat awal penularan koronavirus.
Ia kemudian disusuli dengan tindakan Trump yang mengarahkan supaya negara itu keluar daripada WHO.
Terdahulu, akhbar Times of London melaporkan Pompeo mendakwa bahawa Ketua Pengarah badan dunia itu telah dibeli oleh China.
“Kami berpendapat, setiap negara, termasuk China, perlu bersikap menurut lunas undang-undang yang wajar dan konsisten,” tegas Pompeo.
“Mereka tidak boleh membuat tuntutan maritim ke atas kawasan yang bukan milik mereka.”
Tambah beliau, “Kami mahu setiap negara yang memahami nilai kebebasan dan demokrasi, serta kepentingannya kepada rakyat dan kedaulatan mereka, untuk memahami ancaman ini yang dilakukan Parti Komunis China terhadap mereka.”
#China #COVID-19 #dibeli #Donald Trump #Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus #Mike Pompeo #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO
;