Tuah lamar kekasih di restoran KFC, pasangan terima 'durian runtuh'
Agensi
November 9, 2019 14:26 MYT
November 9, 2019 14:26 MYT
Bertuahnya badan!
Sepasang kekasih di Afrika Selatan ‘dibanjiri’ tawaran daripada pelbagai syarikat dan individu yang ingin menjadi penaja sempena hari bahagia mereka selepas aksi melamar di restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) menjadi tular di media sosial.
Tidak perlu membuat lamaran di hotel lima bintang atau makan malam romantik di restoran ternama, cukup sekadar di restoran makanan segera.
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Hector melamar kekasihnya, Nonhlanhla di sebuah restoran makanan segera di Gauteng, Afrika Selatan.
Tanpa disangka, lamaran mereka dirakam oleh seorang individu bernama Kateka Malobol dan sejak itu pasangan berkenaan menjadi sebuah fenomena di Afrika Selatan.
Rakaman video mereka dimuat naik ke Twitter dan tidak sampai beberapa jam, mereka menjadi sasaran banyak pihak.
Seorang jurucakap kepada pasangan itu berkata, Hector mahu mengadakan sebuah majlis kecil, namun dia berdepan masalah kewangan.
“Mereka memerlukan gaun dan sut pengantin, kek dan makanan. Boleh sesiapa bantu mereka?,” katanya.
.
Sejak itu, muncul seorang personaliti televisyen dan doktor, Sindi van Zyl membuat pengumuman untuk membantu mengadakan majlis perkahwinan mereka.
Kemudian muncul beberapa orang perseorangan membantu mengutip dana dan lebih menarik lagi apabila majalah fesyen terkemuka, Cosmopolitan yang ingin menaja persalinan kedua-dua pengantin.
Selain itu, syarikat penerbangan tambang murah, Kulula turut menawarkan percutian percuma bulan madu selama lima hari ke Cape Town termasuk tiket penerbangan dan tempat tinggal.
Antara penaja lain yang turut sama bermurah hati adalah jenama minuman Coca Cola, Huawei dan khidmat deejay terkemuka, DJ Fresh.