Tsunami: Setelah bertemu anak perempuan, pasangan harap temui abangnya pula

Agensi
Ogos 9, 2014 10:12 MYT
Septi, 52 percaya anak lelakinya Arif Pratama Rangkuti mungkin berada di Pulau Banyak - Foto EPA/Hotli Simanjuntak
Pasangan suami isteri dari Indonesia yang bernasib baik bertemu semula anak perempuannya yang hilang dalam kejadian tsunami 10 tahun lalu, kini berharap agar dapat menemui anak lelakinya pula.
Ketika kejadian, anak perempuannya, Raudhatul Jannah berusia empat tahun dan abangnya berumur tujuh tahun dilihat sedang bergantung pada sebatang papan kayu sebelum mereka berdua dihanyutkan ombak besar di rumah mereka di Aceh pada 26 Disember.
Perkara berkenaan menyebabkan dua beradik itu terpisah dari ibu dan bapanya.
Ibu Raudhatul, Jamaliah dan bapanya, Septi Rangkuti adalah antara yang terselamat dalam kejadian tsunami dan gempa bumi yang telah mengorbankan 10,000 orang di Pulau Sumatera Barat, Aceh.
Setelah 10 tahun kehilangan anaknya, suami isteri itu pernah berputus asa dalam usaha mencari mereka.
Namun pada Jun, Raudhatul yang kini berusia 14 tahun berjaya ditemui setelah abang kepada Jamaliah terserempak dengan gadis tersebut di sekitar barat daya Aceh.
Setelah dikenalpasti, gadis yang ditemui merupakan anak pasangan tersebut yang hilang 10 tahun lalu di bawa tsunami.
“Kini kami sangat berharap agar dapat menemukan abang kepada Raudhatul.
“Laporan polis mengenai kehilangan anak lelaki kami itu telah pun dibuat dan saya berharap pihak berkuasa dapat membantu” kata Septi kepada wartawan.
Septi, 52 percaya anak lelakinya Arif Pratama Rangkuti mungkin berada di Pulau Banyak iaitu kepulauan yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pantai Aceh.
Septi mengakui apabila abang iparnya memberitahu ada bertemu budak perempuan seiras Raudhatul, pada mulanya dia tidak percaya.
“Tak mungkin itu anak perempuan saya, sudah 10 tahun kejadian itu berlaku” kata Septi dalam satu sidang media yang dilakukan di Banda Aceh.
“Bila kami berjumpa Raudhatul, kami tahu dia anak kami, kami dapat rasakan ikatan tersebut.
“Jika orang tidak percaya, kami sanggup lakukan ujian DNA, tapi kami tahu ini anak kandung kami,” tambah Septi.
Raudhatul yang kelihatan pemalu dan terharu dengan sambutan media, turut memberitahu wartawan bahawa dia sangat gembira bertemu ibu dan bapanya semula serta adiknya yang lahir selepas kejadian tsunami itu.
Keluarga angkat Raudhatul juga hadir dan berkata gadis tersebut akan sentiasa menjadi sebahagian keluarga mereka.
Tsunami yang melanda Indonesia pada tahun 2004 itu telah mengorbankan lebih daripada 170,000 orang.
#Aceh #Indonesia #Raudhatul Jannah #tsunami #tsunami 2004
;